KERAP kali saya mendengar iklan di radio, akbar dan media baru tentang promosi korban di luar negara. Bertahun-tahun perkara ini telah berlaku.

Antara negara yang popular termasuklah Kemboja, Palestine, Indonesia dan sekarang ke Afrika Selatan pula.

Saya tertanya-tanya juga kenapa banyak syarikat sangat aktif dan berminat mengajak rakyat malaysia melakukan korban di luar negara.

Apakah faktornya? Kerana ibadatkah atau perniagaan?

Apakah perkara ini memberi kesan kepada rakyat Malaysia secara amnya?

Jawapannya ada.

Contohnya di masjid tempat saya tinggal. Setiap tahun lembu untuk di korbankan menjadi berkurangan. Satu ketika dahulu ada 12 ekor tetapi sekarang tiga ekor pun susah.

Perkara ini berlaku kerana korban di luar negara lebih murah berbanding dalam negara.

Bayangkan penduduk setempat yang datang ketika ibadat korban antara 300 ke 400 orang. Lembu yang mahu dikorbankan tiga ekor. Sehingga ada masjid terpaksa membuat catuan daripada sekilo menjadi setengah kilo.

Itu pun cukup-cukup untuk pihak yang datang ke program korban sahaja, mereka yang tidak datang tidak merasa, sebab lembu sikit.

Setiap kali solat Jumaat atau ada jemputan ceramah, para ustaz yang datang itu akan memprosikan korban di luar negara, kerana murah dan kononnya orang luar lebih susah daripada rakyat malaysia.

Ayat-ayat ini saya kurang bersetuju. Di bandar, mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 itu di kira miskin dan jika RM2,000 itu fakir miskin. Berjuta rakyat kita yang miskin dan fakir yang memerlukan daging korban tersebut.

Ada banyak kes saya dengar dan benar benar belaku. Saya tidak nafikan ramai orang Islam di Kemboja yang miskin. Saya tahu sebab saya juga pernah ke sana.

Tetapi mereka bukan ramai seperti kita, sesetengah kampung hanya ada 50 keluarga sahaja, tetapi lembu korban sampai 20 ekor kerana ramainya rakyat kita berkorban di sana.

Yang berlaku ialah kerja-kerja penyembelihan berlangsung sehingga tiga hari kerana kurangnya prasarana dan orang untuk memproses daging korban.
Setiap keluarga pula mendapat berkilo-kilo daging, sedangkan di negara kita sekilo pun susah.

Yang paling afdal tentulah ibadat korban di tempat sendiri. Apatah lagi ramai rakyat tempatan yang memerlukannya.

Yang menjadi masalah ialah syarikat yang menganjurkan korban di luar negara lebih kepada berniaga.

Sehingga ada kes di kemboja yang dapat dikesan dan tahan oleh pihak berkuasa kerana menjadi kaya-raya hasil korban daripada duit rakyat kita.

Kekayaan itu datangnya daripada duit untuk ibadat korban. Contohnya duit kutipan untuk 100 ekor lembu, tetapi dia korbankan hanya 20 ekor sahaja. 80 ekor lagi tidak wujud dan duitnya masuk ke poket sendiri.

Oleh itu saya sarankan agar para agamawan berhati-hatilah dalam kempen ibadat korban ini.

Cukuplah-cukuplah memberitahu orangnya miskin di sana makan daging hanya setahun sekali iaitu ketika adanya ibadat korban.

Kita di Malaysia inipun ramai juga rakyat dapat makan daging segar setahun sekali. Maklumlah daging segar ini selalu berharga RM38 ke RM40 ringgit sekilo.

Walaupun Rakyat Malaysia dilihat biasa makan daging, hakikatnya kita adalah pengimport daging kerbau terbesar di dunia dari India. Namun, Kemboja, Indonesia dan banyak negara di dunia tidak membenarkan import daging kerbau dari India ini.

Di Indonesia, mereka yang makan daging segar ini biasanya hanya orang kaya kerana harga daging mahal. Daging yang dijual biasanya lembu tempatan atau diimport dari Australia dan New Zealand.

Bayangkan jika Malaysia menghentikan import daging kerbau dari India, apa akan berlaku ialah kita juga akan makan daging setahun sekali.

Oleh itu, secara peribadi saya berpendapat, di samping melakukan ibadat korban di luar negara, jangan sampai rakyat malaysia sendiri terabai.

Bak kata peribahasa, “kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan”. – 16 Julai 2019

HAMDAN TAHA
Warga Perihatin

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.