BARU- baru ini, Syarikat Heineken Malaysia Berhad mempromosikan minuman tanpa alkohol dalam pasaran.

“Now You Can”? Apakah maksud tersirat sebalik tagline ini? Siapakah sasaran penjualan produk ini? Adakah produk ini boleh diminum oleh orang Islam?

Bagi saya, slogan dan iklan ‘zero’ kandungan alkohol dalam produk syarikat itu mengelirukan umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Izinkan saya menerangkan serba sedikit fakta yang saya baca mengenai isu alkohol dalam makanan dan minuman.

Menurut Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan ‘isu alkohol dalam makanan dan minuman, pewangi dan ubat ubatan pada 14 hingga 16 julai 2011 telah bersetuju memutuskan:

1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu arak. Alkohol yang diperoleh dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.

2. Manakala alkohol yang diperoleh bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi harap (tidak boleh) diminum dalam bentuk asalnya kerana ia racun dan boleh membunuh.

3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1 peratus adalah harus (boleh) diminum.

4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

5. Makan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semula jadi seperti buah-buahan, kekadang stay bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/minum.

6. Makan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5 peratus.

7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Maka dengan jelasnya, minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum dan tiada ruang untuk menghalalkan apa jua minuman jenis arak yang boleh diklasifikasikan sebagai halal.

Jadi soalannya, kenapa produk sebegini diberi kebenaran untuk pengiklanan secara terbuka?

Kita tahu majoriti golongan belia dalam negara kita adalah yang beragama Islam.

Bukankah pengiklanan sebegini mengelirukan dan memberi andaian bahawa ia boleh diminum oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira agama dan bangsa?

Bukan itu sahaja, kita juga melihat gejala sosial dalam kalangan remaja yang sering terlibat dalam pergaduhan akibat mabuk minum arak.

Bukankah promosi zero alkohol ini akan mengundang lagi ramai remaja untuk mencuba arak ini?

Saya berasa kesal dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa kerana beliau sepatutnya peka dengan isu-isu semasa yang secara tidak langsung bertentangan dengan ajaran agama Islam dan agama-agama lain.

Bukankah patut jika pihak berkuasa agama seperti Jabatan Mufti dan JAKIM dapat mengeluarkan ketetapan yang jelas terhadap isu sebegini?

Sama seperti ajaran agama Islam, agama Hindu juga mengharamkan semua jenis makanan ataupun minuman yang memudaratkan kesihatan dan membahayakan diri.

Sekurang-kurangnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) patut menubuhkan majlis penasihat di peringkat kementerian kerana kepimpinan sedia ada tidak memadai untuk mengemudi Kementerian.

KPDNHEP seharusnya memantau dan meneliti segala produk di negara ini sebelum memasuki pasaran.

Begitu banyak kelemahan dalam Kerajaan Pakatan Harapan. Isu-isu sebegini tidak memerlukan pengalaman lama dalam pentadbiran negara. – 16 Julai 2019.

A. SUBASH CHANDRABOSE,
SEDAR Malaysia.

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.