LIM Kit Siang sekali lagi cuba menipu. Kali ini ‘mangsa’nya adalah masyarakat Cina sendiri.

Penipuan Kit Siang itu dibongkarkan oleh Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berhubung kenyataan penasihat DAP itu bahawa orang bukan Melayu berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Dominic berkata, kenyataan itu satu bentuk penipuan kerana baginya DAP tidak berkuasa di dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan ia mengelirukan masyarakat Cina.

Sebagai bukti katanya, DAP masih tidak mampu mendapatkan jawatan Timbalan Perdana Menteri meskipun memenangi 42 kerusi Parlimen semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) iaitu jumlah kedua terbanyak daripada kesemua komponen PH.

“Kenapa DAP tidak mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua, sama seperti mewujudkan jawatan Timbalan Ketua Menteri II di Pulau Pinang,” katanya.

Baru-baru ini, Kit Siang menyatakan bahawa pada masa hadapan orang bukan Melayu berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Dominic berkata tiada siapa akan mempercayai kata-kata Kit Siang tentang orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana katanya, Kit Siang secara terang-terangan menipu apabila menafikan beliau tidak pernah mengatakan Tun Mahathir Mohamad sebagai seorang yang korup.

“Kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini menjemput semua parti politik orang Melayu menyertai Bersatu menunjukkan bahawa usaha melantik orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri tidak akan berjaya,” katanya. – 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.