SEMALAM, Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) mengesahkan tiada kehilangan wang kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akibat ‘dirompak’ oleh Kerajaan BN yang lepas seperti yang didakwa oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Asyraf Wajdi Dusuki memandang serius hal ini dan mahu Guan Eng dikenakan tindakan.

“Pemuda UMNO dengan ini mendesak agar Lim Guan Eng dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dan dikenakan hukuman yang tegas dan setimpal.”

“Hal ini kerana dakwaannya bukan sahaja palsu malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur dan rakyat,” kata Asyraf dalam suatu kenyataan.

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius dakwaan Menteri Kewangan yang telah terbukti menipu dan mengelirukan Dewan dengan niat jahat untuk membangkit kebencian rakyat terhadap Pentadbiran yang lepas!

Pemuda UMNO juga mahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat wajar menerima usul Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri untuk dibahaskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat yang lain.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata dana itu tidak hilang, tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Noraini berkata berdasarkan keterangan 10 saksi prosiding berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik GST mendapati hasil cukai itu tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST.

Katanya lagi, Seksyen 54(2) Akta GST 2014 dan Surat Ikatan Amanah Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST menetapkan semua kutipan GST perlu diakaunkan terlebih dahulu dalam Kumpulan Wang Bagi Pembayaran Balik GST.

Pada sidang Parlimen Ogos 2018, Guan Eng mendakwa wang sebanyak RM19.4 bilion Wang Bayaran Balik GST telah dirompak oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu.

Pengumuman Noraini semalam menunjukkan wang itu tidak hilang seperti yang didakawa.

Kini, Guan Eng pula dipersoal ke manakah wang Petronas yang dikatakan diambil bagi menggantikan wang GST yang didakwa hilang itu. – 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.