KRITIKAN yang dilemparkan oleh Datuk Seri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin terhadap Datuk Seri Najib Razak menggambarkan mereka berdua tidak bersungguh membela UMNO, kata Wan Indra Putra Ahmad.

Naib Ketua UMNO Bahagian Shah Alam itu berkata, walaupun parti Melayu itu meraikan pendapat dan pandangan ahlinya, tetapi kritikan itu tidak relevan kerana mempertikaikan sumbangan Najib kepada Barisan Nasional.

“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Najib telah meningkatkan kepercayaan rakyat di bawah dan dirinya sendiri.

“Malah proses perundangan yang dihadapinya juga telah mendatangkan simpati rakyat dengan timbulnya slogan ‘maluapabossku’.

“Jadi situasi ini mendatangkan kebaikan kepada BN,” katanya kepada NTHQibord.

Sehubungan itu, Wan Indra menyarankan agar Nazri dan Khairy untuk melontarkan kritikan terhadap kelemahan Pakatan Harapan terutamanya di sidang Dewan Rakyat dan menjuarai semula isu rakyat.

Beliau turut mengingatkan Khairy tentang kegagalan Ahli Parlimen Rembau untuk meraih sokongan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Dalam kepimpinan UMNO, KJ (Khairy) kalah merebut jawatan Presiden dan gagal meraih sokongan pengundi generasi muda pada PRU14.

“Tapi mereka masih wajar dikekalkan jika masih relevan dan pucuk pimpinan perlu akur dengan perkara itu demi kemenangan BN untuk bentuk kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Indra menyifatkan cabaran Nazri agar UMNO memecatnya sebagai cara untuk meletakkan kesalahan kepada parti dan pucuk pimpinan.

“Sebenarnya dia merendahkan martabatnya sendiri dalam UMNO.

“Kalau dia fighter (pejuang), dia letak jawatan, tak perlu tunggu dipecat,” katanya. – NTHQiBord, 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.