BEBERAPA hari lalu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempelawa PAS untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Tugas memujuknya diserahkan kepada Amanah dan mestilah bersetuju tanpa syarat.

“PH tendang DAP baru pelawa PAS,” tegas Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria ketika dihubungi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata
tiada sebab PAS perlu menyertai PH jika sekadar menjadi khadam kepada DAP.

“Lihat sahaja kepada bekas pemimpin PAS yang sebelum ini hebat di pentas politik namun kini menikus seperti ‘pak turut’,” katanya menurut Sinar Online.

Menurutnya, pemimpin Amanah tidak lagi berani untuk mengangkat muka apatah lagi bangun membela jika timbul isu-isu yang menjejaskan agama, bangsa dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Che Abdullah memberi contoh termasuklah isu ICERD, Statut Rom, UEC, kes Muhammad Adib Mohd Kassim, seks luar tabii, dan dakwaan rogol.

Bagi Che Abdullah, tiada keperluan untuk PAS masuk PH atau ke Putrajaya bersama mereka kalau sekadar menjadi pak turut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS pada masa ini akan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam menjayakan agenda perpaduan ummah bersama UMNO.

Katanya, agenda itu antara lain tidak meninggalkan parti-parti BN lain yang mewakili pelbagai kaum sama ada di semenanjung atau dari Sabah dan Sarawak.

“PAS yakin Muafakat Nasional yang diterajui oleh UMNO dan PAS serta disokong oleh parti-parti lain kini merupakan pilihan terbaik untuk rakyat ke arah negara Malaysia yang lebih sejahtera, aman dan makmur.

“Sokongan padu rakyat pelbagai kaum dan momentum politik yang menyebelahi parti-parti blok pembangkang di masa ini membayangkan hasrat rakyat Malaysia yang inginkan suatu perubahan pada negara dalam waktu paling dekat,” katanya. – 16 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.