PILIHAN Raya Umum ke-15 dijangka menjadi suatu era baharu dalam perjalanan sejarah Malaysia moden.

Hal ini kerana selepas merdeka buat pertama kalinya warganegara yang berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan juga menjadi calon.

Sebelum pindaan ini, had umur mengundi dan menjadi calon ialah 21 tahun.

Parlimen dijangka meluluskan pindaan ini selepas tertangguh pada minggu lepas.

Penangguhan itu dibuat selepas pembangkang meletakkan syarat kelayakan automatik tanpa perlu mendaftar dengan SPR seperti sebelum ini.

Hari ini Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, Bacaan Kali Yang Kedua.

“Oleh hal yang demikian, kerajaan menganggarkan jumlah pengundi pada tahun 2023 akan meningkat lebih daripada 50 peratus menjadikan jumlah pengundi sekitar 22.7 juta, berbanding 14.9 juta pada PRU Ke-14 tahun 2018.”

“Kerajaan menjangkakan untuk lima tahun akan datang, sekiranya pendaftaran secara automatik ini dilaksanakan bersekali dengan penurunan had umur mengundi 18 tahun, seramai 7.8 juta pengundi baharu akan dimasukkan ke dalam Daftar Pemilih tiap tahun sehingga tahun 2023,” kata Mahathir.

Pindaan ini membabitkan tiga perkara iaitu;

i. Perkara 119(1) (a) ialah dengan menurunkan had umur dari 21 tahun kepada 18 tahun.

ii. Perkara 119(1)(c) meminda daripada syarat mesti didaftarkan kepada layak mengundi secara automatik ketika usia genap 18 tahun.

iii. Perkara 47(b) Perlembagaan Persekutuan, kelayakan menjadi calon pilihan raya turut diturunkan kepada 18 tahun berbanding usia 21 tahun.

Mahathir mengatakan pindaan ini dilakukan kerana remaja pada hari ini cepat matang berbanding remaja suatu masa dahulu.

Hal ini kerana remaja hari ini terdedah dengan maklumat daripada pelbagai sumber berbanding dahulu yang hanya bergantung kepada televisyen dan akhbar. – 16 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.