DR. Tan Seng Giaw, veteran DAP menasihatkan supaya ahli politik berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

Menurutnya, ahli politik yang mengutarakan komen dan kritikan haruslah berpandukan fakta dan asas yang kukuh.

Seng Giaw mengulas kontroversi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan perkataan ‘rompak’ berhubung isu bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada Ogos tahun lalu.

“Apa sahaja sebutan mestilah berteraskan kepada fakta, itu yang saya boleh tegaskan.

“Kalau kita tengok fakta itu, kita boleh membezakan apa yang betul dengan yang tidak betul. Kita tak boleh buat kenyataan yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan.

Ia disebabkan Guan Eng telah mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu sebagai perompak.

“Guan Eng pada sidang Dewan Rakyat Ogos tahun lalu mendakwa kerajaan Barisan Nasional (BN) telah ‘merompak’ wang bayaran balik GST apabila tidak memasukkan hasil GST ke dalam akaun Kumpulan Wang Bayaran Balik GST seperti sepatutnya.

“Ia menyebabkan bayaran balik GST kepada syarikat-syarikat yang membuat tuntutan tertunggak sehingga RM19.47 bilion,” katanya.

Namun, laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen yang dibentangkan semalam mengesahkan wang untuk bayaran balik GST tidak dirompak.

Wang itu sebaliknya digunakan oleh kerajaan terdahulu untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Seng Giaw berkata, kenyataan Guan Eng akan dinilai oleh rakyat sama ada akan terus menyokong dan mempercayai kredibiliti Setiausaha Agung DAP itu serta partinya ataupun tidak.

“Itu terserah kepada orang ramai, orang ramai boleh fikir dengan tepat dan ada fikiran yang tersendiri.

“Dalam kehidupan, kita kena lah memandang kepada apa yang berlaku. Hakikat dan kenyataan itu perlu,” katanya.

Jangan menuduh melulu tanpa bukti yang kukuh, bila dah terbukti tuduhan yang dibuat tu salah, sendiri malu.-17 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.