PERGESERAN antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali makin memuncak.

Sebelah paginya Anwar meminta Azmin meletak jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi jika terbukti terlibat dalam video seks songsang.

Terkini, Azmin menjawab dan meminta Anwar melihat diri sendiri dalam cermin sebelum menggesa dirinya berbuat demikian.

Pergeseran antara kedua-dua pemimpin utama PKR ini bermula jauh lebih awal sejak beberapa tahun yang lalu.

Sejak itu, secara perlahan-lahan wujud dua kem dalam PKR iaitu kem Anwar dan kem Azmin.

Dalam isu memilih pengganti Menteri Besar Selangor pun, Azmin berjaya melobi penggantinya iaitu Amirudin Shari dengan mengetepikan pilihan Anwar Dr Idris Ahmad.

Kemuncak kepada pergesaran ini ialah penyebaran video seks yang didakwa membabitkan bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Haziq mengakui bahawa dia salah seorang pelaku terbabit, sementara Azmin menafikannya terlibat.

Pergeseran antara dua kem ini berterusan apabila di suatu pihak mempertahankan Anwar dan di suatu pihak lagi mempertahankan Azmin.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamruddin jelas mempertahankan Azmin apabila menyatakan seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah.

Zuraida turut menggesa semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan demi kepentingan “agenda sendiri” berhubung klip videos seks itu.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid berpandangan bahawa bercuti merupakan “jalan terbaik” buat Azmin Ali.

Gesaan Ahli Parlimen Kapar itu selaras dengan Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin sebelumnya.

Azmin menyifatkan gesaan Shamsul sebagai tindakan “munafik”.

Sementara itu, Tun Mahathir yang sebelum ini banyak mempertahankan Azmin hari ini menyerahkan kepada Azmin sama ada mahu bercuti atau terus bekerja. – 17 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.