PENGERUSI Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC Mengenai Bajet), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan bahawa hutang negara pada akhir tahun 2018 mencecah RM1,090.8 bilion (RM1.09 trilion).

Mustapa berkata jumlah itu merangkumi hutang kerajaan persekutuan (RM741 bilion), jaminan pinjaman yang ditanggung kerajaan (RM132.7 bilion) serta hutang bersih 1Malaysia Development Bhd (RM32.2 bilion).

Menurut beliau ia meliputi liabiliti lain iaitu perkongsian awam-swasta (PPP), inisiatif kewangan swasta (PFI) dan PBLT Sdn Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Pembinaan BLT Sdn Bhd, syarikat di bawah Kementerian Kewangan (Diperbadankan) dengan jumlah RM184.9 bilion.

Beliau berkata demikian semasa sidang media di lobi parlimen mengenai Penyata Pertama Sesi 2018-2020 bagi Hutang dan Liabiliti Kerajaan.

Selain Mustapa, jawatankuasa parlimen ini turut dianggotai Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa), Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju), Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching), Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka), Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) dan Alexander Nanta Linggi (GPS-Kapit).

Laporan itu sebenarnya selari dengan laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) melalui Special Data Dissemination Standard (SDDS) pada November 2018 lalu.

Mengikut laporan SDDS, hutang Malaysia pada 31 Disember 2017 adalah RM686.8 bilion dan liabiliti luar jangka pula adalah RM238 bilion.

Angka ini terbuka dan boleh didapati di laman web Bank Negara, Jabatan Perbendaharaan Negara, Jabatan Perakaunan Negara dan Jabatan Audit Negara.

Kerajaan DAP-PH yang mengambil alih kuasa telah menambah angka baharu kepada jumlah tersebut termasuk komitmen seperti pembayaran pajakan dan bayaran penyelenggaraan terhadap hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka yang berjumlah RM201.4 bilion.

Oleh sebab pertambahan itulah yang telah menunjukkan jumlah keseluruhan hutang negara berada pada nilai mendekati RM1 trilion.

Ia sebenarnya bermaksud jumlah hutang dan liabiliti adalah sebanyak RM1 trilion.

Secara teknikalnya, ini adalah angka yang benar kerana Malaysia mempunyai liabiliti lebih daripada RM1 trilion, di mana RM686.8 bilion adalah dalam bentuk sekuriti hutang.

Namun, sejak mengambil alih kerajaan, tiada tindakan tuntas dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini.

Yang ada hanyalah menyalahkan kerajaan terdahulu.

Terdahulu Datuk Seri Najib Razak dalam Facebook beliau menjelaskan bahawa pada minggu lepas, hutang negara cecah RM800 bilion.

Minggu ini, naik lagi ke RM804 bilion. Tambah RM118 bilion berbanding RM686 bilion pada akhir tahun 2017 masa BN.

RM196 bilion lagi akan cecah RM1 trilion dengan rasminya.

Masa BN, hutang naik tapi dengan kadar lebih rendah berbanding PH.

Masa BN, walaupun hutang naik tapi rizab PETRONAS naik, aset-aset negara bertambah dan bantuan kepada rakyat naik setiap tahun.

Masa PH, hutang naik dengan kadar jauh lebih tinggi, rizab PETRONAS dijarah sehingga PETRONAS diturunkan taraf, aset-aset negara terus dijual, bantuan dimansuh atau dikurangkan dan janji-janji mereka terus dicapatikan. – 17 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.