TERSEBAR dua pucuk surat yang di muatnaik individu bernama Azroy Syafiq di Facebook.

Surat pertama bertajuk ‘Sokongan Permohonan Tender Sebut Harga’ manakala surat kedua ‘Pengisian Tabung Bersatu Bahagian Setiu’.

Kedua-dua surat itu memaparkan nama seorang senator dari negeri Terengganu sebagai pengirim.

Apa yang lebih menarik, surat pertama menggunakan logo rasmi kerajaan, manakala surat kedua menggunakan logo rasmi parti Bersatu.

Bagi surat pertama, kandungan surat tersebut memaparkan permohonan sokongan dari  Rina Harun, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi projek membina dataran masjid dan jalan perhubungan desa.

Pengirim itu juga mendakwa terdapat dua syarikat mewakili Bersatu bahagian Setiu, iaitu HM Rahmat Trading & Services dan Man United Excellent Enterprise yang perlu diberi perhatian oleh Rina.

Surat kedua pula mengandungi maklumat premis dan utiliti yang tertunggak, dan memerlukan beberapa projek untuk menampung premis bahagian Bersatu itu.

Walau bagaimana pun, masih belum ada penafian mengenai ketulenan dua pucuk surat tersebut dan keasliannya masih belum disahkan oleh mana-mana pemimpin tertinggi Bersatu.

Bersatu, adalah sebuah parti yang diwar-warkan ‘bersih’ dari sogokan dan rasuah, dikatakan menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa di kalangan pemimpin Bersatu.

Tahun lalu, Syed Saddiq dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu menyelar pemimpin Bersatu yang ‘minta projek’ dan jawatan dari kerajaan.

Jelas Syed Saddiq, golongan Melayu yang seharusnya ditolong anak-anak muda Felda yang miskin dan anak muda yang tidak berpeluang masuk universiti, bukannya orang Melayu yang sentiasa mahu menjaja projek dan kontrak. – NTHQiBord, 17 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.