SERAMAI 171 individu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi, di Johor Bahru berhubung kejadian pencemaran Sungai Kim Kim, dekat Pasir Gudang, Mac lepas, lapor bernama.

Kesemua plaintif membabitkan 34 pelajar, lapan orang awam dan 129 nelayan.

Mereka menuntut ganti rugi dianggarkan berjumlah RM30 juta terhadap 12 defendan.

Defendan tersebut termasuklah Kerajaan Negeri Johor, bekas Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian serta bekas Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Saman difailkan menerusi Tetuan Kamarudin & Partners itu turut menamakan bekas Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Saleh, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Johor Ir Che Mohd Dahan Che Jusof, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang Zainor Adani dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Datuk Dr Ahmad Kamarul Najuib Che Ibrahim.

Defendan lain turut melibatkan Kerajaan Malaysia, syarikat P Tech Resources Sdn Bhd serta tiga individu yang sudah dituduh di mahkamah berkaitan kes pencemaran berkenaan pada Mac dan April lepas, iaitu N. Maridass, Yap Yoke Liang serta Wang Jing Choa.

Peguam plaintif, Kamarudin Ahmad berkata 34 pelajar dan lapan orang awam memohon perintah agar Kerajaan Negeri Johor selaku defendan pertama membiayai kos pemeriksaan kesihatan bagi setiap mereka untuk tempoh tiga tahun dari tarikh penghakiman.

Plaintif turut memohon perintah agar Kerajaan Negeri Johor membiayai kos rawatan perubatan selama 10 tahun mulai dari tarikh penghakiman jika didapati mengalami masalah perubatan berbangkit akibat pencemaran itu.

“Saman ini difailkan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 3 petang semalam menerusi sistem e-filing.

“Kesemua pelajar dan nelayan menuntut ganti rugi di atas kecederaan akibat terhidu gas toksik ekoran pencemaran Sungai Kim Kim hingga mengalami simptom muntah, pening kepala, batuk, demam, sesak nafas, sakit dada dan tekak.”

“Plaintif turut mengalami simptom tegangan berpanjangan di otot tangan dan kaki serta tahap toksik tinggi dalam darah,” kata Kamarudin.

Menurut Kamarudin, seramai 129 nelayan dari tujuh kampung pula secara puratanya menuntut ganti rugi khas antara RM15,000 dan RM30,000 seorang.

Alasan nelayan terbabit ialah pencemaran Sungai Kim Kim menjejaskan mata pencarian mereka kerana orang ramai takut membeli hasil tangkapan.

Katanya antara asas tuntutan kesemua plaintif adalah kecuaian yang berlaku sebelum dan selepas pencemaran.

Defendan gagal memastikan keselamatan dan perlindungan penduduk di Pasir Gudang dari ancaman pencemaran toksik serta gagal menggerakkan serta merta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi menangani pencemaran toksik Sungai Kim Kim.

Menurut Kamarudin, pengurusan kes permohonan saman terbabit dibuat dalam tempoh tiga bulan ini manakala proses perbicaraannya dijangka bermula November ini. – 17 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.