ISU video seks makin memuncak apabila Datuk Seri Anwar Ibrhim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbalas-balas serangan hari ini.

Namun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin video seks yang didakwa mirip Azmin Ali itu adalah pakatan politik untuk menjatuhkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Ketika mengulas cadangan Anwar supaya Azmin bercuti, Mahathir berkata gesaan Anwar itu bergantung kepada kesahihan video berkenaan.

“Dia (Anwar) kata kalau betul, kalau betul ya lah (perlu bercuti). Tapi dia tak kata mesti sekarang ini,” kata Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan, siri video seks yang tersebar itu bukanlah bersifat jenayah, sebaliknya lebih kepada permainan politik.

“Jenayahnya ialah ada satu pakatan untuk menjatuhkan Azmin,” ujar Mahathir.

Mahathir turut mempertikaikan kredibiliti Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Menurut Mahathir, kebiasannya orang akan bersembunyi dan malu untuk mengaku melakukan perbuatan itu.

Jadi, tindakan Haziq membuat pengakuan secara terbuka menimbulkan tanda tanya apakah motif di sebaliknya.

Haziq telahpun dipecat daripada PKR pada 3 Julai lalu.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menegaskan pihaknya tidak akan masuk campur dalam siasatan pihak berkuasa berhubung kes video seks tersebut.

Saifuddin juga meminta diberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk merungkai dua persoalan penting dalam kes ini.

Pertama, kesahihan video yang disebarkan dengan mengenal pasti pelakunya dan keduanya penyebar video tersebut. – 17 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.