Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NAMPAKNYA bakal Perdana Menteri ke-8, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal kehilangan sokongan 27 orang kanannya dalam PKR angkara video semburit.

Selepas peperangan hangat antara Anwar dan timbalan presidennya, Datuk Seri Azmin Ali semalam, kem Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu hari ini secara berjemaah menyerang Presiden PKR itu.

Seramai 27 pemimpin kanan PKR termasuk ahli Majlis Pimpinan Tertinggi dan wakil rakyat parti itu mengecam Anwar kerana tidak menyokong Azmin yang terpalit dengan isu video semburit.

Mereka menyifatkan ‘desakan’ Anwar supaya Azmin meletak jawatan jika video seks itu sahih, sebagai kenyataan yang tidak berasas.

“Presiden (Anwar) sewajarnya memberikan kepimpinan yang jelas terhadap persoalan utama untuk membanteras komplot politik jahat bagi menjatuhkan Azmin.

“Beliau juga harus fokus kepada perlakuan jenayah konspirator yang telah secara terancang menularkan video seks yang jijik dengan niat jahat,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kesemua pemimpin PKR itu juga berasa hairan dengan pandangan berbeza Anwar sebelum ini yang mengatakan Azmin tidak perlu melepaskan jawatannya.

“Kami menggesa Anwar selaku Presiden PKR untuk berhenti dari mengeluarkan sebarang kenyataan yang memecahbelah kesatuan parti,” katanya.

Semalam, Anwar mengingatkan Azmin supaya melepaskan jawatan jika terbukti timbalannya itu terlibat dalam skandal video seks songsang.

Namun Azmin membalas kenyataan Anwar itu dengan meminta presidennya mencermin diri dahulu, dipercayai merujuk kepada salah laku liwat yang pernah dilakukan Ahli Parlimen Port Dickson itu.

Dalam pada itu, 27 pemimpin kanan PKR juga mengingatkan Anwar tentang skandal seks yang diharunginya pada 2011.

“Presiden wajar menyorot kembali asas perjuangan reformasi di mana
seluruh kepimpinan dan anggota PKR berdiri teguh mempertahankan beliau dari fitnah jahat yang menggunakan fitnah dan video seks sebagai alat politik biarpun pada tahun 2011.

“Ketika itu Ketua Polis Negara mengumumkan bahawa video seks tersebut adalah tulen,” kata mereka. – 18 Julai 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.