LIMA lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memeriksa kereta peronda polis (MPV) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau, pada 13 April lepas.

Kesemua tertuduh, S. Vigane Swaran, S. Mangaswaran, S. Sivakumar, M. Arin dan A. Yeohvan Louis membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret V. Vanita di Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

Majistret membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.

Dalam kejadian pada 6 petang 13 April lepas, dua anggota MPV mengikuti sebuah kenderaan lain bagi membawa kertas undi ke pusat penjumlahan di SRJKC Chung Hua, Rantau.

Bagaimanapun, MPV itu tidak memasuki sekolah sebaliknya berhenti di luar pagar bagi mengawal keadaan lalu lintas dan keselamatan.

Lima lelaki berkenaan yang juga penyokong sebuah parti politik, menghampiri anggota lalu memeriksa MPV berkenaan selepas mendakwa polis membawa lebihan kertas undi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh pada 13 April kira-kira pukul 6 petang di hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa, Rantau dalam daerah Seremban dengan sengaja menghalang tugas Sarjan Yusof Md Medak dari menjalankan fungsi jawatannya dengan membuat pemeriksaan pada bahagian bonet kenderaan polis MPV NS 357.

Oleh itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sampai dua tahun atau denda yang boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya. – 18 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.