POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tiada kuasa untuk menentukan ketulenan video homoseks yang dipercayai melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, kata Ketua Polis Negara.

Datuk Abdul Hamid Bador berkata, PDRM mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berhubung perkara tersebut dan menyerahkan bukti kepada mahkamah sebagai subjek perbicaraan.

“Itu bukan tanggungjawab kita (menentukan ketulenan video).

“Sebarang bukti akan menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke mahkamah.

“Saya tidak boleh memandai-mandai dalam perkara itu,” katanya.

Abdul Hamid juga berkata, PDRM tidak akan melindungi kepentingan mana-mana pihak dalam isu video lucah itu.

Katanya, siasatan polis sentiasa berpaksikan kepada ketelusan dan SOP yang adil tanpa melindungi pihak tertentu.

“Kita sedar wujud tekanan yang mahu siasatan kes disegerakan malah ada yang mendesak untuk diberikan tempoh masa selesaikan kes… tidak semudah itu untuk disiasat dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

“Orang ramai perlu faham, bila kertas siasatan lengkap, ia akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. Masanya akan tiba,” katanya. – 18 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.