NAMPAKNYA UMNO tidak banyak berubah walaupun sudah ‘diajar’ rakyat pada PRU14.

Masih lagi menyimpan duri dalam daging biarkan si duri terang-terangan menikam daging.

Kritikan Datuk Seri Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin terhadap pelantikan Datuk Seri Najib Razak mungkin boleh dimaafkan.

Tapi bagaimana pula dengan sokongan terbuka Nazri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Adakah Lembaga Disiplin UMNO masih berfungsi atau sudah serik untuk ambil tindakan terhadap ahli yang berani menyuarakan sokongan kepada musuh mereka?

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa pula tidak bertegas dalam isu Nazri menyokong Anwar walaupun sebelum itu beliau mengesahkan parti tidak akan mengambil tindakan disiplin kepada Ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Tindakan Annuar membisu seolah-olah menghalalkan sokongan Nazri kepada Anwar, sedangkan Nazri masih merupakan ahli UMNO.

Sepatutnya, Annuar perlu berani dan bertegas dengan Nazri yang sebelum ini juga mencabar parti itu memecatnya.

Sikap lemah-lembut inilah yang akhirnya akan meranapkan UMNO kerana masih lagi menyimpan gunting dalam lipatan walaupun ahli terbabit berani mencemarkan imej parti.

Apakah Annuar terlalu ‘slow’ untuk fikirkan kesan sokongan Nazri kepada Anwar yang akan menjejaskan keyakinan akar umbi?

Jika begitu, tiada bezalah Annuar dan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sebelum ini memegang jawatan tersebut.

Cuma, Tengku Adnan lebih berani sikit untuk memecat Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Rafidah Aziz yang melanggar perlembagaan parti kerana duduk sepentas dengan pembangkang sebelum PRU14 lalu.

Dalam kes Nazri, bekas menteri pelancongan itu sudah dua kali menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar tetapi Annuar masih belum ambil sebarang tindakan.

Soal disiplin sepatutnya dititikberatkan agar ahli sentiasa mematuhi perlembagaan dan peraturan parti.

Ambil contoh parti DAP. Mereka tidak teragak-agak untuk memecat ahli yang mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan boleh merosakkan parti.

Tindakan tegas sebegini amat penting bagi sesebuah parti supaya dapat menyingkirkan mana-mana ahli yang tidak berdisiplin selain menjadi pengajaran kepada ahli lain.

Jika UMNO terus berlembut, maka makin ramailah ahli yang besar kepala kerana tidak bimbang dengan pemimpin atas yang bersikap ‘pengecut’. – NTHQiBord, 18 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.