KRISIS dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) makin memuncak apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka meminta Datuk Seri Azmin Ali meletakkan jawatan.

Kemudiannya Azmin membalas balik supaya Anwar cermin diri sendiri dahulu.

Bagi penganalisis politik, Hamdan Taha, sikap agresif Anwar itu ada sebabnya.

Anwar mula bertindak agresif selepas enam orang ditahan bagi membantu siasatan polis dalam isu video seks songsang yang dikaitkan dengan Azmin Ali.

Kemudian disusuli penahanan setiausaha politik Anwar dan juga Pengerusi PKR negeri, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

“Penahanan Farash meletakkan Anwar dalam kedudukan seolah-olah plot peristiwa 1998 berulang kembali.”

“Kita kena tengok game (perancangan) Tun Dr Mahathir Mohamad. Mahathir sedang bermain game lama,” kata Hamdan

Bagi Hamdan, beliau tahu dan jelas akan hal ini kerana berada secara langsung dalam krisis politik tahun 1998.

Anwar mula bertindak agresif kerana melihat plot yang berlaku pada hari ini sama sahaja dari segi skrip dan gaya, cuma pemegang watak sahaja berbeza.

Kalau pada tahun 1998, yang menjadi KPN ialah Tan Sri Rahim Nor tetapi kali ini Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Menurut Hamdan, Anwar tentunya sedar bahawa mereka yang ditahan adalah orang-orangnya daripada kemnya.

Plot yang sama bermakna Mahathir tidak akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Oleh itu, berdasarkan pengalaman 1998 itu, Anwar cuba bertindak dengan cepat dengan menyasarkan Azmin.

Anwar tahu, jika Azmin berjaya ditumbangkan, perancangan Mahathir akan menjadi pincang.

“Anwar sedang bermain game dengan Mahathir. Pertembungan kedua-duanya membawa masalah kepada negara,” kata Hamdan.

Pada tahun 1998 Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan UMNO atas alasan kerana melakukan perbuatan-perbuatan tidak bermoral.

Dalam satu afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu, Anwar dikaitkan dengan perbuatan meliwat seorang lelaki dan mempunyai hubungan seks dengan beberapa pelacur.

Mahathir menganggap Anwar tidak layak untuk menerajui negara ini bukan disebabkan oleh soal politik, pertentangan pendapat dengan atau ekonomi tetapi disebabkan moralnya yang rendah. – NTHQiBORD 18 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.