KETUA Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan bahawa video intim Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan seorang menteri adalah tulen, lapor Malaysiakini.

Namun, menurut Abdul Hamid, pihak Cybersecurity tidak dapat memastikan seratus peratus siapakah pelaku sebenar dalam video berkenaan.

“Jawapan yang kami terima, mereka kata tulen. Tapi mereka tak dapat sahkan seratus peratus siapa pelaku-pelaku dalam tu (video).”

“Saya selaku ketua polis negara tidak boleh memandai-mandai, perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke muka pengadilan.”

“Saya harap orang ramai khususnya faham tentang kekangan tanggungjawab saya sebagai ketua polis negara,” katanya.

Sebelum itu, Abdul Hamid menegaskan bahawa tiada tekanan dan campurtangan dikenakan kepada polis dalam menyiasat kes berkenaan.

Siasatan polis tertumpu kepada dua aspek iaitu ketulenan video tersebut dan dalang di sebalik penyebarannya.

Polis telah menahan lapan individu berhubung dengan siasatan video itu, termasuk bekas Ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku sebagai salah seorang pelakunya.

Turut ditahan ialah pembantu politik Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.

Isu video ini turut menyebabkan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali berbalas-balas kenyataan sehingga menimbulkan suasana tegang dalaman PKR.

Dalam perkembangan lain, Anwar menafikan Azmin merupakan ancaman kepada beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

Anwar juga mendakwa mempunyai cukup sokongan untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya. Sokongan itu datangnya daripada ahli parlimen PKR, Pakatan Harapan dan restu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – 18 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.