PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal membuat satu rombakan Kabinet.

Rombakan Kabinet itu dijangka dilakukan selewat-lewatnya selepas Hari Raya Aidiladha atau akhir bulan depan.

Menurut sumber, ia sudah menjadi bualan ramai pihak namun enggan mengulas lanjut kemungkinan rombakan kabinet itu adalah sebahagian daripada pelan penyerahan kuasa PM kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkara itu sudah menjadi perbualan oleh banyak pihak yang menjangkakan berlaku selewat-lewatnya akhir bulan hadapan,” katanya.

Ia juga berkemungkinan kerana Mahathir melantik Menteri Kabinet dalam kalangan yang tidak berpengalaman dan telah banyak menimbulkan isu.

“Situasi semasa rombakan itu dijangka bagi menyesuaikan porfolio menteri yang ada setelah lebih setahun kerajaan Pakatan Harapan memerintah negara.

“Selepas kemenangan pada pilihan raya tempoh hari, Mahathir terpaksa melantik menteri dalam kalangan mereka yang banyak menimbulkan pelbagai masalah.

“Sepanjang tempoh itu juga pastinya Perdana Menteri telah membuat penilaian sewajarnya,” katanya.

Selain itu, pemerhati politik kini sedang memerhati dengan penuh minat perkembangan semasa tampuk kepimpinan negara kepada Anwar.

“Pemerhati politik pula kini sedang memerhati dengan penuh minat perkembangan semasa terutama bila akan berlaku peralihan tampuk kepemimpinan negara kepada Anwar.

“Mereka meletakkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai penanda.

“Sekiranya Wan Azizah meletakkan jawatan bermakna sudah tiba masa Anwar akan menjadi PM, kerana adalah sesuatu yang aneh jika dua jawatan utama pentadbiran negara dipegang oleh suami dan isteri,” katanya. – 18 Julai 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.