MENTERI Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan bahawa mata pelajaran Sejarah dirombak setelah kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran, lapor Bernama.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut menjelaskan bahawa semakan semula serta pindaan bagi buku teks mata pelajaran Sejarah sudah dilaksanakan secara berfasa sejak 2017, sekaligus menafikan dakwaan dan tuduhan yang ditular dalam media sosial ia dirombak.

Pindaan itu berlaku sejak pentadbiran kerajaan terdahulu dan selaras dengan kandungan mata pelajaran serta keperluan cara penyampaian yang lebih baik agar tidak membosankan.

Dalam masa yang sama Dr Maszlee turut mengulas isu berhubung rang undang-undang (RUU) yang menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun yang diluluskan yang dikhuatiri disalahguna pihak tertentu untuk berpolitik di sekolah.

Beliau menegaskan bahawa sekolah merupakan tempat untuk pelajar menimba ilmu dan bukan untuk disalahgunakan oleh parti-parti politik.

Beliau berkata sekolah hanya memainkan peranan memperkenalkan sistem demokrasi serta mekanisme bagaimana rakyat boleh menjaga keamanan dan keharmonian negara demi melangsungkan kedamaian yang dibina.

“Sekolah terikat dengan pekeliling sekolah, ia adalah tempat untuk pendidikan bukan untuk politik. Namun di sekolah kita mendidik rakyat dengan kesedaran mengenai demokrasi, perlembagaan dan hak mereka sebagai warganegara,” katanya.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Selasa lepas diluluskan di Dewan Rakyat dengan mendapat undian majoriti. – 18 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.