KONGRES Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membidas kajian Institut Darul Ehsan (IDE) bahawa Tun Dr Mahathir tidak patut kekal menjadi Perdana Menteri melebihi tempoh dua tahun, lapor Bernama.

Kumpulan pemikir kerajaan Selangor, IDE mendakwa bahawa kaji selidik yang dijalankannya mendapati 75 peratus responden merasakan Mahathir tidak patut kekal melebihi tempoh dua tahun.

Hanya 22 peratus lagi berkata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak perlu meletak jawatan sama sekali.

Sebanyak 1,597 orang telah ditemu bual dalam kaji selidik itu.

Namun setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata tidak perlu mana-mana pihak menjalankan kaji selidik mengenai berapa lama Mahathir patut memegang jawatan PM.

Menurut J. Solomon, pemimpin berusia 94 tahun itu mesti diberi seberapa banyak “masa dan ruang” yang diperlukannya untuk meletakkan ekonomi negara pada landasannya semula.

Sebarang gesaan meminta Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri akan mengganggu usaha-usaha memulihkan ekonomi dan membebaskan negara daripada rasuah.

Solomon juga berkata adalah “tidak berperikemanusiaan” untuk meminta PM meletakkan jawatan sebelum beliau berpuas hati bahawa beliau telah melakukan segala yang beliau terdaya untuk negara dan telah bersedia untuk menyerahkan kuasa.

Dr Mahathir telah berkali-kali memberi jaminan bahawa beliau akan mengotakan janjinya untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim walaupun tiada kerangka waktu ditetapkan.

MTUC berharap semua ahli politik, sama ada kerajaan atau pembangkang, berhenti daripada terlibat dalam politik tidak sihat yang hanya akan merencatkan pembangunan negara.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyatakan bahawa dia memperoleh sokongan yang cukup daripada PKR dan PH untuk menjadi PM menggantikan Mahathir.

Anwar pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri kepada Mahathir pada tahun 1993 tetapi kemudiannya dipecat pada tahun 1998.

Sebelum PRU14, Anwar dijanjikan jawatan Perdana Menteri jika PH memenangi pilihan raya itu yang dipimpin oleh Mahathir.
Ini adalah peluang kedua cita- cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri selepas terhalang lebih 20 tahun.

Ironinya, Anwar masih berhadapan dengan orang yang sama yang pernah memecatnya suatu ketika dahulu. Adakah kali ini Anwar akan berjaya? – 18 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.