PARTI Keadilan Rakyat (PKR) adalah parti paling besar dalam Pakatan Harapan (PH).

Parti ini ada 50 kerusi parlimen, diikuti DAP 42, Bersatu 26, Amanah 11 dan Warisan Sembilan.

“Oleh itu, jika PKR bergolak maka goyanglah PH. Jika PKR ada masalah, maka bermasalahlah PH,” kata Hamdan Taha, penganalisis politik ketika ditemui.

Hamdan Taha memberikan kronologi bahawa pergeseran terbuka antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Azmin Ali bermula apabila enam orang termasuk Haziq ditangkap.

Pergeseran ini sudah tidak dapat dibendung dan disorok lagi.

Ekoran penangkapan itu Anwar meminta polis mencari siapa dalang di sebalik penyebarannya dan yang paling penting mengesahkan ketulenan video itu.

Kenyataan Anwar itu mendapat respon segera daripada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, sepupu Anwar, yang kini ahli Bersatu.

Khairudin berkata jika soal ketulenan menjadi keutamaan, bukan sahaja video yang dikaitkan dengan Azmin tetapi juga video yang pernah dikaitkan dengan Anwar suatu masa dahulu dinilai semula.

Menurut Hamdan, jika disebut soal ketulenan, video yang dikaitkan dengan Anwar dahulu juga disahkan tulen oleh Ketua Polis Negara pada waktu itu Tan Sri Ismail Omar.

Tetapi PKR pada ketika itu mengambil keputusan tetap mempertahankan Anwar. Rakyat juga tidak peduli soal ketulenan itu.

Rakyat yakin itu bukan Anwar kerana Anwar menafikan bahawa dia dalam video itu.

Ekoran itu, Khairuddin telah membuat laporan polis untuk dikaji semula kesahihan video yang pernah dikaitkan dengan Anwar suatu masa dahulu.

Tindakan Khairuddin itu menyebabkan kem Anwar tidak puas hati.

Anwar mengarahkan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin, buat kenyataan rasmi meminta Azmin bercuti.

Azmin bertindak balas melalui Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin pada hari yang sama.

Zuraida menegaskan adalah tidak perlu untuk membuat kenyataan tambahan agar mana-mana pemimpin politik yang didakwa terlibat dengan salah laku, diminta bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.

Pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.

Zuraida turut menyatakan ada pihak mula gelabah dan panik apabila polis semakin hampir mendedahkan dalang di sebalik penyebaran klip video seks itu.

Zuraida turut secara terbuka menyerang Anwar. Zuraida mengungkit bahawa klip video seks yang mengaitkan Presiden PKR Anwar Ibrahim pernah disebarkan, namun, katanya, pemimpin PKR bersatu mengecam ia sebagai konspirasi politik.

Kemudiannya Tun Dr Mahathir menyerahkan keputusan sama ada bercuti atau tidak kepada Azmin sendiri.

Jawapan Mahathir itu menyebabkan kem Anwar tidak puas hati.

Lantas Anwar secara terbuka meminta Azmin meletak jawatan jika terbukti terbabit dalam video seks itu.

Kenyataan Anwar itu disokong oleh Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani.

Azmin membalas dengan meminta Anwar cermin diri sendiri.

Menurut Hamdan, perang mulut antara kedua-dua pemimpin utama PKR ini menunjukkan mereka saling mengetahui rahsia masing-masing.

Bagi Hamdan, apa yang berlaku dalam PKR ini sehingga terdedahnya perkara yang aib, mungkin mahu rakyat Malaysia tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam parti ini. – NTHQiBORD 18 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.