KAMI menggesa PM untuk bersikap tegas di dalam menangani kes yang membabitkan menteri kanan kabinet persekutuan iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kes ini merupakan sesuatu kes yang serius kerana membabitkan seorang individu yang telah membuat dakwaan dan bersedia bertanggungjawab. Individu ini juga sedang ditahan dan disiasat oleh pihak berkuasa sekarang.

Kes ini juga serius dari sudut moral kerana membabitkan salahlaku seks luar tabie yang bukan sahaja berlawanan dengan nilai beragama negara ini juga membuka ruang kepada masalah dalam soal keselamatan dan pentadbiran negara.

Kes ini juga telah menjadi polemik besar dalam masyarakat dan memberi kesan mendalam kepada masyarakat termasuk parti yang merupakan parti pemerintah kerana yang didakwa terlibat adalah seorang menteri dan pemimpin parti memerintah.

Kesemua faktor tersebut menjadikan isu ini memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan itu sendiri lebih-lebih lagi kerana yang didakwa terbabit adalah seorang menteri yang bertanggunjawab hal ehwal ekonomi yang merupakan cabaran terbesar negara dan rakyat hari ini.

Maka adalah wajar Datuk Seri Azmin Ali diminta melepaskan jawatan serta tugas dan tanggungjawab kepada negara bagi menjamin perjalanan pentadbiran negara ini juga tidak terjejas dengan isu ini.

Justeru kami menggesa YAB Perdana Menteri mengambil sikap tegas demi kepentingan negara dan rakyat sepertimana sikap tegas yang pernah diperlihatkan oleh PM dalam isu-isu lain sebelum ini.

Soal ketulenan video atau dalang konspirasi itu memang perlu diselesaikan tetapi mesti dilakukan tanpa mengheret dan menjejaskan pentadbiran negara.

Makanya sekali lagi kami tegaskan demi kepentingan negara PM mesti minta Menteri Kabinet ini melepaskan semua jawatan di dalam kerajaan serta merta. – 18 Julai 2019

MOHAMAD EZAM MOHD NOR

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.