KERAJAAN persekutuan harus bertindak cepat dalam menangani isu perumahan rakyat.

Kelewatan dan penundaan hal ehwal penyediaan perumahan mampu milik menggusarkan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Harga rumah di Malaysia semakin hari semakin melambung tinggi seolah-olah tiada penyelesaian dari pihak kerajaan terutamanya melibatkan projek PRIMA.

Hal ini turut disuarakan Dato’ Iskandar Samad, yang merupakan Ketua Penyelaras REACH, Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat & Perumahan.

Menurut Iskandar Samad, pada ketika ini kerajaan negeri seperti negeri Selangor menetapkan syarat wajib kepada pemaju untuk menyediakan perumahan mampu milik dari RM42,000 hingga RM220,000 seunit.

Dasar ini berjaya meningkatkan jualan perumahan mampu milik tetapi tidak menggembirakan pemaju atas kekangan kewangan mereka.

” Dasar ini juga memerlukan pemaju untuk mensubsidi pembinaan rumah mampu milik tetapi kos tanah dan kos pembinaan lebih tinggi berbanding harga jualan yang diluluskan,” tulis beliau.

Iskandar Samad juga mencadangkan agar Malaysia menubuhkan satu kumpulan seperti Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB) di Singapura untuk menangani masalah perumahan mampu milik yang dihadapi hari ini.

Tambah beliau, perumahan mampu milik tidak boleh dilihat sebagai komersial sepenuhnya.

Apa yang perlu dititikberatkan adalah manfaat yang diterima rakyat kerana fokus kerajaan itu sendiri adalah untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan, kesenangan dan kesejahteraan dalam sesebuah negara. – NTHQiBORD 18 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.