Setiausaha politik harus lebih jelas dan tahu mengenai pelaksanaan tugas mereka dalam kementerian, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jelasnya, keputusan itu dipersetujui mengikut prinsip dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) hari ini.

“Jemaah Menteri akan membincangkan fungsi tugas dan tanggungjawab setiausaha politik dengan jelas dalam melaksanakan tugas di kementerian.

“Itu antara keputusan yang dipersetujui secara prinsip dalam mesyuarat JKKMAR,” katanya.

Menurut Mahathir, setiausaha politik dulu diwujudkan bagi menolong Menteri untuk berhubung dengan masyarakat setempat.

Malangnya, pada zaman pemerintahan kerajaan terdahulu, ada di antara mereka yang terlibat dalam agihan kontrak.

“Setiausaha politik ini adalah untuk menolong menteri berkomunikasi dengan rakyat di kawasannya, tapi ada kes berlaku dalam kerajaan lalu, ada di antara mereka yang terbabit dalam agihan kontrak.

“Ini bukan tugas setiausaha politik, jadi kita hendak kembalikan tugas mereka sebagai perantara menteri dan rakyat,” katanya.

Selain itu, Mahathir berkata JKKMAR bersetuju mewujudkan format, gerak kerja atau prosedur bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam menjalankan peranannya dalam urusan perlantikan calon ke jawatan penting kerajaan.

“Kerajaan bersetuju terdapat jawatan dalam perlembagaan dan akta yang dirujuk kepada Jawatankuasa ini supaya perincian calon yang sesuai dapat dikemukakan.

“Seperti perlantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang lalu, saya menggunakan prosedur sedia ada seperti mana yang termaktub di dalam akta.

“Selepas ini, terdapat empat jawatan penting yang tersenarai di dalam akta yang akan menggunakan prosedur lantikan ini iaitu Pengerusi dan Ahli SPR, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Suruhanjaya Kehakiman dan anggota SUHAKAM,” katanya.

Tambah beliau, mesyuarat juga bersetuju dengan beberapa syor untuk mengukuhkan lagi kebebasan Jabatan Audit Negara untuk menjalanka tugas.

“Antaranya pindaan Akta Audit 1957 bagi membolehkan kuasa Ketua Audit Negara dalam melaksanakan tindakan.

“Mesyuarat juga dimaklumkan Akta Kebebasan Maklumat akan digubal untuk menggantikan Akta Rahsia Rasmi.

“JKKMAR bersetuju dengan prinsip bahawa tempoh masa yang mencukupi harus diberikan kepada proses penggubalan undang-undang ini yang memberi fokus kerjasama bersama dengan masyarakat,” katanya.-18 Julai 2019

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.