MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng terlepas daripada sebarang tindakan selepas memfitnah Barisan Nasional (BN) merompak duit bayaran semula GST.

Ini disebabkan keputusan kontroversi Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof tidak merujuk Menteri DAP itu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk tindakan lanjut.

Hal itu mengundang rasa kecewa Pemuda MCA yang menyifatkan keputusan Mohamad Ariff sebagai tidak masuk akal.

Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho Kwok Xheng berkata, Mohamad Ariff sepatutnya bersikap adil dan berkecuali dalam kes itu.

“Tindakan Guan Eng yang menuduh BN ‘merompak’ wang cukai GST tanpa membuat penyelidikan terlebih dahulu memang tidak patut dan jika dibiarkan begitu sahaja bakal menjejaskan maruah dan integriti Dewan Rakyat.

“Lebih teruk lagi, Guan Eng masih enggan memohon maaf, sebaliknya masih mencari alasan untuk mempertahankan tuduhannya walaupun sudah disahkan bahawa tiada wang dicuri,” katanya.

Ryan Ho berkata, tuduhan yang dilemparkan Guan Eng sebenarnya bersifat tuduhan jenayah dan ia sememangnya sudah cukup untuk dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

“Memang tidak masuk akal mengapa Yang Dipertua masih cuba melindungi Guan Eng,” katanya.

Semalam, Mohamad Ariff dikritik barisan ahli Parlimen pembangkang apabila membuat kesimpulan ucapan Guan Eng pada Ogos tahun lalu tiada unsur provokasi dan tidak mengelirukan.

Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu bersifat berat sebelah kerana laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah memuktamadkan bahawa wang bayaran balik GST tidak dirompak. – 16 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.