AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman berkata penurunan had mengundi kepada 18 tahun bakal memerangkap Pakatan Harapan (PH), lapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum 1, Berubah Lapan Belas: Antara Trend, Kematangan dan Tanggungjawab pada majlis Forum ‘Make A Change, Let’ s Do It Together’ anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya,

Alasan Adun dari DAP itu ialah kegagalan PH menunaikan sebahagian besar janji dalam manifesto PRU14 yang lalu..

“Kita lihat masih banyak lagi janji manifesto PH yang belum ditunaikan khususnya yang melibatkan anak muda, isu paling utama ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN).

“Dan kalau kerajaan hari ini tidak berusaha untuk menunaikan janji-janji ini dan tidak menunaikan apa yang anak muda mahukan, maka usaha menurunkan had umur ini akan memakan diri PH sendiri pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Selain PTPTN, isu besar yang melanda golongan muda khususnya yang telah bergraduasi ialah masalah pengangguran.

Dalam pindaan rang undang-undang itu selain menurunkan umur warganegara layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan perlembagaan pada 16 Julai lalu itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan dewan undangan negeri kepada 18 tahun.

Mereka juga didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diluluskan di Dewan Rakyat setelah memperoleh lebih dua per tiga persetujuan dengan sokongan 211 daripada 222 ahli Dewan Rakyat.

Dijangkakan menjelang PRU15, lebih 7 juta golongan muda akan mengundi buat pertama kalinya.

Pertambahan mendadak ini menyebabkan semua parti politik terpaksa bekerja keras bagi memastikan pengundi muda ini mendapat maklumat yang cukup.

Dalam forum yang sama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan bagi menyediakan modul pendidikan pengundi untuk memberi pemahaman mengenai demokrasi dan pilihan raya sejak awal usia.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, mengambil contoh seperti di Australia yang mengadakan pendidikan pengundi ketika mereka berada di Tahun Tiga iaitu ketika berumur sembilan tahun. – 18 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.