PADA 7 Julai lalu Presiden Bersatu, Muhyiddin Yasin dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menafikan menandatangani akuan bersumpah mengumumkan sokongan untuk Anwar bagi mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Akuan Bersumpah palsu bertarikh 3 Julai itu menyebut bahawa Anwar sedang menunggu nasihat Yang di-Pertuan Agong bagi peralihan kuasa memandangkan beliau mendapat sokongan dua pertiga untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terkini, akuan bersumpah itu turut dinafikan oleh salah seorang pembantu Anwar, lapor Malaysiakini.

Ia juga mengatakan bahawa presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Mahathir sebelumnya berjanji menyerahkan tugasnya kepada Anwar dalam tempoh dua tahun.

Namun, perjanjian tidak bertulis itu membolehkan peralihan kuasa berlaku lebih daripada tempoh yang dijanjikan.

Kedua-dua mereka sering menyebut mengenai pelan peralihan kuasa itu sejak Pakatan Harapan menumbangkan BN pada pilihan raya umum 2018.

Berdasarkan situasi semasa dengan kemelut ekonomi dan permasalahan dalaman PKR dalam isu video seks, peralihan itu mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat.

Apatah lagi, ahli Bersatu dan blok pembangkang iaitu UMNO dan PAS mahu Mahathir terus menjadi PM sehingga tamat penggal.

Semakin lewat peralihan kuasa bermakna peluang Anwar menjadi PM semakin tipis khususnya jika melewati PRU15.

Hal ini kerana, tiada jaminan PH akan terus menang dalam PRU15 nanti.

Apatah lagi Anwar melihat kebangkitan gelombang orang Melayu Islam di samping bangsa-bangsa lain mengkritik PH yang gagal menunaikan janji dalam manifesto.

Tidak mustahil impian Anwar itu hanya jadi sebuah mimpi sahaja. – 19 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.