SOALAN

Saya bekerja dengan syarikat Makkah Metro Train. Mengikut kontrak kerja, saya tidak dibenarkan menunaikan haji sewaktu kerja. Akan tetapi para senior saya menasihati saya supaya mengerjakan haji secara sembunyi tanpa diketahui oleh sesiapa pada waktu off duty.

Apakah hukum melaksanakan haji ketika bertugas sedangkan sudah diamanahkan membantu kelancaran pergeraakan Jemaah haji. Apakah saranan atau nasihat Dr atas perkara ini. Adakah perlu saya mengerjakan haji atau fokus pada kerja yang diamanahkan.

Jawapan

Dalil dan Pensyariatan

Haji merupakan rukun Islam ke lima dan merupakan salah satu kefardhuan yang wajib melakukannya dan mempelajarinya. Sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir dan keluar daripada Islam. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk. (Surah Ali-Imran, 97)

Oleh itu, bersepakat bahawa Ibadah haji merupakan satu kefardhuan. Tiada seorang di kalangan mereka berpendapat sebaliknya. Oleh itu, mereka menghukumkan kafir kepada yang mengingkari sesuatu yang telah ditetapkan oleh al-Quran, al-Sunnah dan Ijma’.

Kemampuan Menunaikan Ibadah Haji

Kewajipan sesorang itu untuk menunaikan ibadah haji sekiranya cukup syarat wajib haji. Di antaranya adalah aman di dalam perjalanan semasa menunaikan haji. Tidak diwajibkan untuk menunaikan umrah dan haji sekiranya terdapat ancaman terhadap dirinya atau hartanya disebabkan kemudharatan. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya. (Surah al-Baqarah, 195)

Selain itu al-Istita’ah (kemampuan) juga memainkan peranan penting dalam menentukan kewajipan ke atas seseorang itu. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. (Surah Ali-Imran, 97)

Yang disebut dengan berkemampuan apabila seseorang itu memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Harta ini termasuk tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, bayaran visa pasport perjalanan dan upah pemandu haji dan umrah sebagai mana yang dikehendaki pemerintah. Dan kesemua harta itu mestilah lebihan daripada jumlah hutang dan perbelanjaan ahli keluarganya selama mana ketiadaannya.

Perjanjian

Di antara sifat orang yang beriman adalah menepati perjanjian yang ditetapkannya. Sifat ini dijelaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Firman Allah SWT:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. (Surah al-Maidah: 1)

Dr Wahbah al-Zuhaili dalam mentafsirkan ayat ini menyatakan: “Janji adalah satu sifat yang terpuji. Menyalahi janji adalah satu sifat khianat dan nifaq. Meleraikan perjanjian yang telah dibuat merupakan sikap yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan. Maka, secara syarak, wajib untuk menepati janji. Sesiapa yang menyalahi dan tidak menepati janji yang telah dilakukan, sebenarnya dia telah melakukan maksiat dan dosa.” (Lihat: al-Tafsir al-Munir, 15/73)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan dan penelitian dalil yang diberikan, kami berpandangan tidak boleh mengerjakan ibadah haji seperti mana yang termaktub di dalam kontraknya.

Ini kerana, tidak menjadi kewajipan ke atasnya mengerjakan ibadah haji ketika itu kerana termasuk dalam kategori tidak mampu (istit’ah). Ini bagi mengelak terjadinya sesuatu yang memudharatkan seperti dikenakan tindakan undang-undang dan lain-lain. – 19 Julai 2019

S.S. DATO’ SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.