DESAKAN supaya Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali supaya berundur bukanlah pandangan majoriti ahli.

Demikian dinyatakan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Radzlan Jalaludin, lapor Sinar Harian.

“Apa yang berlaku ini adalah memang komplot untuk membunuh karier Azmin kerana umum dapat melihat bahawa Azmin adalah pemimpin yang mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam pentadbiran kerajaan yang ada.”

“Jadi mungkin… seperti biasalah bila ada orang yang berpotensi, pasti ada orang yang dengki,” kata Radzlan.

Situasi yang berlaku sekarang ini tidak seharusnya wujud dalam era Malaysia Baharu kerana pemimpin yang berpotensi sepatutnya diangkat dan disokong, bukannya dijatuhkan dengan cara yang menjijikkan.

Menurutnya, ia juga tidak wajar dijadikan modal untuk menimbulkan provokasi dalam PKR sendiri.

Dalam pada itu, Radzlan turut menjelaskan mengenai ketulenan video berkenaan yang telah disahkan oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, beliau berkata isu ketulenan video dan pelaku dalam video adalah dua isu berbeza.

Katanya, KPN secara jelas menyatakan pelaku dalam video itu tidak dapat disahkan jadi Azmin tidak boleh dikaitkan sama sekali.

Jadi desakan dalam PKR supaya Azmin berundur tidak relevan lagi.

Menurut Radzlan lagi, isu telah merencatkan tugas ramai pihak terutamanya pihak polis.

Beliau menggesa cerita berkaitan dengan video lucah yang tidak bermoral ini dihentikan dan semua pihak menumpukan kepada pembangunan ekonomi, pembangunan masyarakat, kebajikan rakyat, dan keselamatan negara.

Bagaimanapun katanya, isu penyebaran video berkenaan tetap perlu diberi perhatian dan pelaku yang terlibat perlu dihukum.

“Penyebar telah menyebarkan bahan lucah walaupun kita tidak tahu siapa pelaku, siapa pelakon, tetapi aksi yang ditunjukkan dalam video tersebut adalah aksi lucah.

“Jadi siasatan ke atas penyebar perlu dilakukan dengan baik, dan sekiranya ternyata mereka yang melakukan penyebaran itu, mereka harus didakwa,” katanya. – 19 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.