SIKAP acuh tidak acuh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee YinYeo dalam menguruskan tragedi pencemaran udara di Pasir Gudang, Johor ternyata mengecewakan rakyat.

Dewan Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) berkata walaupun sudah hampir empat bulan sejak krisis kesihatan itu mula-mula berlaku pada Mac, tiada tindakan tegas diambil terhadap kilang yang menjadi punca pencemaran.

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata pihak kementerian di bawah Bee Yin perlu mengambil langkah drastik menghukum pengusaha kilang yang menjadi punca pencemaran udara di Sungai Kim-Kim.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil sekarang, tambahan pula insiden terbaharu yang berlaku di sekitar Masai sememangnya berkait dengan masalah pencemaran alam sekitar.

“Sehingga hari ini, YB Yeo sekadar membuat kenyataan bahawa kementerian, JAS dan kerajaan negeri menggiatkan langkah penguatkuasaan ke atas kilang-kilang di Pasir Gudang.

“Malangnya, sehingga hari ini, hanya langkah reaktif yang dilaksanakan dengan memberikan alat pengesan gas kepada sekolah-sekolah di Pasir Gudang, pada awal bulan Julai.

“Namun, insiden sama terus berulang menyaksikan bahawa langkah ini bukanlah langkah penyelesaian kepada tragedi yang berlaku,” katanya.

Shahir berkata, fakta menunjukkan Sungai Masai adalah sungai yang dikelaskan sebagai ‘Sungai Mati’ atau Sungai Kelas V.

“Sungai Mati merujuk kepada sungai yang paling buruk dan tidak selamat untuk sebarang penggunaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahir berkata, insiden di Sungai Kim-Kim telah memaksa ribuan pelajar dan penduduk tempatan mendapatkan rawatan di hospital dan berdepan pelbagai masalah kesihatan.

Katanya, semalam sahaja dilaporkan seramai 39 pelajar dari lima buah sekolah di Pasir Gudang mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas, sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berdekatan.

Justeru, Ikatan mendesak agar Yeo tidak memilih bulu menghukum pesalah, yang bertanggungjawab melepaskan gas-gas berbahaya melepasi paras dibenarkan.

“Tumpuan juga harus diberikan untuk memelihara sungai yang masih bersih dan memulihara sungai yang sudah mati.

“Khazanah alam sekitar perlu dipelihara seimbang dengan kepesatan pembangunan setempat,” katanya. – 19 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.