RAMAI yang memandang tinggi kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

Dalam program “Bicara Politikonomi: Cabaran PDRM” di RTM pada 17 Julai 2019 umpamanya, beliau menegaskan “Saya sebagai Ketua Polis Negara sedar tentang buruknya PDRM ini diperguna diperalatkan untuk kepentingan politik sesuatu parti politik, saya sedar, jadi saya akan mengambil langkahan sewajarnya untuk mengelakkan(nya)”.

Malangnya, kenyataan media beliau pada 18 Julai 2019 bahawa hasil analisis dari pihak Cybersecurity Malaysia mengesahkan “hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) adalah negatif dan tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video tersebut dengan individu yang dimaksudkan” menyebabkan beliau berdepan dengan kecaman dalam media sosial.

Saya agak terkejut dengan pengumuman ini kerana pada 16 Julai 2019 Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, menyatakan “(PDRM) telah menerima laporan daripada pihak Cybersecurity Malaysia namun tidak akan mendedahkan butiran siasatan” dan “hanya pihak mahkamah yang akan menentukan identiti individu dalam video seks”.

Mungkin pengumuman ini dibuat bagi memenuhi tuntutan supaya laporan Cybersecurity Malaysia ini didedahkan, termasuk desakan Ramkarpal Singh yang menyebut pada 17 Julai 2019: “What Cybersecurity Malaysia has given to police will be part of the investigation. It’s proper for police to reveal the status of this investigation as soon as possible.”

Ini berlaku walaupun Datuk Seri Abdul Hamid sendiri, dalam program “Bicara Politikonomi: Cabaran PDRM”, menyebut “bukan di dalam tanggungjawab PDRM untuk mengesahkan ini mengesahkan itu” dan “saya sebagai Ketua Polis Negara saya tidak boleh memandai-mandai, perkara tersebut akan menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya ia dibawa ke muka pengadilan”.

Datuk Seri Abdul Hamid sekadar memaklumkan dapatan pihak Cybersecurity Malaysia dan tidak seharusnya disindir dengan gelaran seperti “Ketua Pisang Negara” dan sebagainya.

Masa sama, saya juga boleh faham mengapa kenyataan media tersebut dipersoalkan, walaupun persoalan sebenar seharusnya ditujukan kepada pihak Cybersecurity Malaysia.

Ini kerana frasa “hasil proses pengecaman wajah adalah negatif” yang terkandung di dalam kenyataan media tersebut sedikit berbeza dengan frasa “(pihak Cybersecurity Malaysia) tidak dapat mengesahkan seratus peratus siapa pelaku-pelaku di dalam tu” yang dinyatakan oleh Datuk Seri Abdul Hamid dalam program “Bicara Politikonomi: Cabaran PDRM”.

Sebab itulah ada komen-komen dalam media sosial yang berbunyi seumpama “tertanya-tanya juga agaknya berapa peratusan threshold (garis ambang) yang ditetapkan oleh pihak penyiasatan ketika melakukan facial recognition/comparison tersebut untuk menyimpulkan bahawa ia adalah negatif” atau “apa-apa kaedah yang boleh bagi 90 peratus kira okaylah”.

Komen-komen begini mungkin sahaja berbangkit dari cubaan untuk menyelaraskan frasa “tidak dapat mengesahkan seratus peratus” dengan frasa “negatif” yang digunakan. – 19 Julai 2019-07-19

DR KAMARUL YUSOFF
Penganalisis Politik

*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan NTHQiBord*

2 COMMENTS

  1. ramai ditangkap, siasatan video ratusan ringgit tk dpt kesan org membintanginya, kalau pengecamaman pelakon video tk dpt dari mana tahu belanjaan ratusan ringgit…..tentu dari statman okt, jadi kenapa utk utk mengenali watak yg membintangi video, statman okt tk blh diterima…….kalau org biasa2 dh ke ….. ni org luar biasa masih di luar

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.