MAJLIS Pengerusi-pengerusi Pimpinan Negeri PKR meminta pucuk pimpinan PKR agar menumpukan perhatian membantu rakyat dan menunaikan manifesto yang belum terlaksana.

Majlis itu baru ditubuhkan hari ini dan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul, sebagai usaha menyempurnakan manifesto dilaungkan dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Johari berkata, majlis tersebut telah membuat ketetapan untuk terus memberi fokus kepada menjamin kebajikan rakyat.

“Kami tahu pemimpin atasan mungkin sibuk tapi kami lebih rapat dengan rakyat. Sebab itu penubuhan majlis pengerusi ini sangat penting.

“Sejujurnya kami tak berminat dengan apa berlaku kepada kepimpinan tertinggi parti sekarang tapi kami pentingkan apa yang perlu diberi kepada rakyat,” katanya.

Johari juga berkata, tempoh bulan madu sudah berakhir dan kini pemimpin PKR menumpukan hal berkaitan kebajikan rakyat.

“Saya faham keadaan di mana PKR sudah lama menjadi pembangkang dan perlu melakukan beberapa penyelarasan ketika menjadi kerajaan.

“Namun sekarang dah lebih setahun dan saya rasa tempoh bulan madu sudah berakhir. Tolong dengar suara kami kerana kami tahu rakyat perlu dibantu.

“Sekarang kita menjadi kerajaan dan kita minta pimpinan faham masalah di negeri. Mungkin mereka tidak dapat gambaran sebenar. Selama ini kami tak diberi ruang untuk luahkan perasaan kami,” katanya. – 19 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.