AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Johor.

Menurut sumber Hasan telahpun menghantar surat kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim pada 12 Julai lalu.

Hassan Karim dikatakan meletakkan jawatan sebagai pengerusi PKR Johor pada Jumaat lalu.

Namun, dikatakan hasrat Hasan itu ditolak oleh Anwar.

Hassan juga tidak dilihat hadir dalam mesyuarat pengerusi-pengerusi PKR negeri di ibu pejabat PKR pada pagi ini.

Sumber itu menafikan peletakan jawatan Hasan ada kaitan dengan pergeseran antara Anwar dan Azmin.

Antara alasan peletakan jawatan itu adalah kerana terdapat pihak mempertikaikan pelantikannya itu.

Pada 17 Disember 2018, Hasan juga pernah meletakkan jawatan yang sama sebelum bersetuju untuk terus kekal pada 1 Januari 2019.

Ini adalah kali kedua beliau meletakkan jawatan yang sama.

Pada 22 November 2009 Hasan meletakkan jawatan sebagai Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), setelah usulnya agar parti itu menyertai komponen Pakatan Rakyat ditolak.

Hasan yang juga seorang peguam satu-satu Ahli Parlimen daripada pihak pemerintah yang berani mencabar kerajaan supaya menutup kilang kimia yang menyebabkan pencemaran di Pasir Gudang.

Peletakan jawatan Hasan ini menambahkan lagi masalah yang sedang melanda PKR pada ketika ini.

Pergeseran antara Anwar dan Azmin makin memuncak dan sudah ada jangkaan bahawa parti yang diasaskan pada tahun 1998 itu bakal berpecah.

Ketika ini, jurang antara kedua-dua kem makin menjarak dan kem masing-masing melepaskan peluru.

Sekali lagi Anwar berada dalam kedudukan yang tidak selamat dan cita-citanya untuk menjadi PM ke-8 makin pudar.

Apatah lagi, ramai otai reformasi 1998 tidak lagi bersama Anwar malah kini menjadi antara yang lantang menentangnya. – 19 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.