PERGESERAN terbuka antara Azmin Ali dan Anwar Ibrahim dijangka menyebabkan PKR berpecah oleh penganalisis politik, lapor Sinar harian.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, pergeseran antara Anwar dan Azmin memberikan impaknya besar kerana mereka adalah pemimpin utama dalam parti.

“Saya percaya jika tidak dihentikan segera, perkara ini akan merebak dan perpecahan dalam kalangan penyokong PKR.

“Begitu juga dalam PH kerana PKR ada kerusi banyak dalam Kerajaan PH dan sekiranya keadaan semakin meruncing sehingga tidak dapat dibendung lagi maka tidak mustahil ada pihak akan membuat keputusan yang boleh mengorbankan parti,” katanya.

PKR ada 50 kerusi parlimen, diikuti DAP 42, Bersatu 26, Amanah 11 dan Warisan Sembilan.

Bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, beliau menjangkakan PKR akan berpecah dua berikutan krisis dalaman membabitkan dua pemimpin utama parti itu dilihat semakin parah.

“Saya menjangkakan PKR akan berpecah, sama seperti PAS yang berpecah melahirkan Amanah dan UMNO berpecah melahirkan Bersatu.

“Cuma yang belum ada petanda sama ada perpecahan itu akan melahirkan parti baharu atau kumpulan yang terpinggir akan menyertai parti sedia ada sama ada di blok kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Menurut Mohd Yusri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pendidikan Asas dan Liberal (PPAL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), krisis PKR bukan sahaja memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH), bahkan boleh merubah lanskap politik negara.

“PKR adalah parti tonggak dalam Pakatan Harapan (PH), krisis dalaman PKR pasti akan memberi kesan besar kepada PH,” katanya.

Di sebalik pergeseran ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bulan lalu pernah menggesa pihak berkuasa supaya turut menyiasat jika ada unsur campur tangan asing dalam isu video yang menjadi punca keributan.

Menurut Presiden Pas, perkara itu tidak mustahil berlaku kerana hanya fahaman asing yang mengajar berhubung budaya politik kotor. – 19 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.