BEKAS ketua PKR cabang Seputeh, P Ganapathy sudah berkerat rotan berpatah arang dengan Presidennya Anwar Ibrahim, lapor Malaysiakini.

Selepas dipecat, Ganapathy memilih tidak merayu, sebaliknya menyerang Anwar Ibrahim.

Alasan yang diberikan oleh Ganapathy ialah Anwar gagal meredakan keretakan dalam parti.

“Kebelakangan ini saya merasakan beliau tidak lagi boleh menjaga partinya sendiri dengan baik dan telah gagal memupuk semangat kesatuan ahli apatah lagi Malaysia jika beliau di angkat menjadi Perdana Menteri.”

“Dan saya rasa beliau sebenarnya tidak lagi layak untuk menerajui PKR apatah lagi menjadi Perdana Menteri seperti yang dicanang yang oleh pihak-pihak pengampu beliau,” katanya.

Ganapathy yang menjadi ahli PKR sejak 1998 berkata bahawa kebelakangan ini banyak mengkritik tetapi kritikannya bukanlah terhadap dasar perjuangan parti, sebaliknya hanya kepada Anwar Ibrahim.

Ganapathy dipecat atas melanggar disiplin parti dengan menyebar dan memuat naik dalam laman sosial berita tidak benar, memfitnah serta membuat sangkaan jahat kepada pemimpin-pemimpin parti.

Dia menegaskan tidak akan membuat rayuan kerana ia tidak memberi apa-apa makna selagi Anwar menerajui parti. Presidennya orang yang sama, disiplinnya orang yang sama dan orang-orang di belakang Anwar juga orang yang sama.

Pada masa yang sama, Ganapathy menyatakan dia tidak ada masalah bekerja di bawah Wan Azizah, tetapi bukan Anwar.

Krisis dalaman PKR kini bertambah parah apabila kedua-dua kem Anwar dan Azmin mula menyerang secara terbuka.

Terkini, enam Pengerusi Negeri PKR menyokong Anwar iaitu Johari Abdul (Kedah), Amran Kamarudin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), dan Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan).

Sebelumnya, 27 pemimpin kanan bersama 14 anggota parlimen PKR mendesak Anwar supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan parti.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang juga penyokong kuat Azmin mahu dalang dan individu yang terlibat dalam pembikinan dan pengedaran video itu dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.

Beberapa penganalisis politik termasuk Prof Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata, pergeseran Anwar dan Azmin bakal memberi impak besar kerana mereka adalah pemimpin utama dalam parti. – 19 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.