TAN Sri Annuar Musa perlu bagi amaran kepada mana-mana ahli UMNO yang membuat kacau di dalam parti sehingga boleh mengelirukan akar umbi, kata Datin Hajar Abdul Rahman.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat itu berkata, ada akar umbi terutamanya di kawasan kampung keliru tindakan segelintir pemimpin UMNO mengeluarkan kenyataan yang mengkritik sesama sendiri.

Mengambil contoh isu Datuk Seri Nazri Aziz mencabar UMNO untuk memecatnya, Hajar berkata, Ahli Parlimen Padang Rengas itu sepatutnya keluar sendiri jika sudah tidak suka dengan parti.

“Kenapa kita nak dengar kehendak Nazri, sedangkan yang kuatkan UMNO ini adalah akar umbi.

“Sepatutnya Nazri kena dengar kehendak akar umbi.

“Tetapi apa pun tindakan Setiausaha Agung (Annuar Musa), (beliau) kena ambil satu pendekatan yang tidak merosakan pemahaman akar umbi.

“Pada masa yang sama bagi amaran kepada orang-orang yang suka mengacau,” katanya ketika dihubungi NTHQiBord.

Sehubungan itu, Hajar menasihatkan akar umbi tidak perlu keliru dengan pendirian Nazri apabila menyatakan sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelasnya, Nazri sendiri tidak membantu UMNO selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sebaliknya membenam lagi parti Melayu itu.

Malah Hajar berkata, Nazri pada awalnya tidak suka dengan kerjasama UMNO-PAS, tetapi lebih suka kepada DAP dan PKR.

“Kita mahu hendak orang yang ada kemuliaan untuk lakukan ‘turnaround’, daripada tak suka kepada suka.

“Jadi bila rakyat dah mula suka kepada kita, apa masalahnya?” katanya.

Hajar berkata, akar umbi tidak perlu melayan kerenah Nazri yang boleh memberi kesan negatif kepada UMNO.

Katanya, tindakan Nazri sebenarnya mengganggu keharmonian parti dan ahli UMNO diingatkan supaya menjauhi pemimpin seperti ini.

“Pada saya bukan kerana Tan Sri Annuar tidak ambil tindakan, kerana UMNO tidak perlu memecat sesiapa.

“Kalau orang tu tak suka, biarlah dia yang pergi, tak perlu libatkan ramai orang, hanya libatkan dia seorang,” katanya. – NTHQiBord, 20 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.