DATUK Seri Mohamed Azmin Ali perlu menumpukan tugas memulihkan ekonomi dan tidak membuang masa berkenaan video seks yang dikaitkan dengannya.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, kenyataan Ketua Polis Negara sudah cukup membuktikan kepada Malaysia bahawa ada usaha jahat menjatuhkan reputasi Mohamed Azmin.

Katanya, usaha jahat itu melibatkan pihak tertentu yang mempunyai jumlah kewangan yang amat banyak bagi mematikan politik Timbalan Presiden PKR itu.

“Namun, apa yang penting ialah pelaku dalam video tersebut juga tidak dapat dikaitkan dengan Mohamed Azmin,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, analisis pakar ke atas video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri tidak dapat mengaitkan pelaku dengan ahli politik berkenaan.

Kata Abdul Hamid, proses pengecaman wajah ke atas video lucah itu yang dibuat oleh CyberSecurity Malaysia adalah negatif, walaupun kebarangkalian ketulenan video lucah terbabit adalah tinggi.

Khairuddin turut mengucapkan syabas kepada pihak penguat kuasa undang-undang dan kepada pihak polis.

“Inilah yang membuatkan ramai ahli-ahli politik tanah air kita kecewa dengan budaya jahat ini yang dirancang secara terancang bagi menjatuhkan seseorang tokoh politik.

“Kini, rakyat sudah dapat kepastiannya dan teori konspirasi dirancang secara terancang untuk menjatuhkan politik Mohamed Azmin yang terbukti benar,” katanya. – 19 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.