SETIAP orang berhak menyuarakan pandangan dan pendapat masing-masing, kata Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaakob.

Namun beliau berharap rakyat tidak akan terpengaruh sikap yang ditunjukkan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Baru-baru ini, Nazri dan Khairy meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pelantikan Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) sehingga menggugat keharmonian UMNO.

Namun bagi Suraya, Nazri dan Khairy tidak sepatutnya menunjukkan sikap sedemikian secara terbuka sehingga mengundang suasana negatif terhadap parti.

“Mengikut undang-undang mereka ada hak untuk bersuara dan terpulang mahu bercakap mengenai apa,” katanya.

“Bagi saya, kalau soal parti biarlah ia kekal di dalam parti sahaja, tak perlu libatkan orang luar,” katanya kepada NTHQiBord.

Suraya berkata, setiap orang berhak memilih siapa yang mereka suka dan berhak menyatakan persetujuan ataupun tidak.

“Semua orang ada pandangan masing-masing, tak semua orang yang suka pada kita dan akan bersetuju dengan kita.

“Biasalah kalau ada yang bersuara lebih sikit,” ujarnya.

Namun Suraya berharap apa yang berlaku di dalam parti itu tidak akan memberi kesan kepada suara rakyat.

“Kita cuma berdoalah supaya ia tidak memberi kesan kepada parti dan rakyat.

“Rakyat tak boleh terpengaruh dengan (situasi) ini dan oleh itu kita kena anggap itu pandangan peribadi seseorang,” katanya. – NTHQiBord, 20 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.