MUFTI Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata solat sunat gerhana bulan bukan bermakna menyembah bulan tetapi melakukan seperti apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai mengagumi kekuasaan Allah SWT.

Beliau sekali gus menafikan dakwaan pihak-pihak tertentu kononnya Perlis menganjurkan solat sunat gerhana bulan pada Rabu lepas untuk menyembah bulan.

“Kalau tidak tahu sesuatu lebih baik diam daripada membuat tuduhan tidak menentu sedangkan solat sunat yang dibuat semasa berlaku gerhana bulan pada pukul 4.01 pagi 17 Julai lalu adalah untuk mengajak rakyat Perlis beramai-ramai solat sunat gerhana.

“Solat sunat gerhana bulan dan matahari telah sekian lama dilakukan oleh umat Islam sebagai ikutan sunnah Nabi Muhammad,” tegasnya.

Perlis menganjurkan solat itu secara serentak di 15 masjid di seluruh negeri diikuti bacaan khutbah khas mengenai gerhana bulan oleh imam-imam jemputan.

Asri berkata tohmahan sedemikian pernah dilemparkan oleh mereka yang memperlekehkan Pejabat Mufti dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) ketika menganjurkan solat jemaah beramai-ramai minta diturunkan hujan beberapa tahun lalu.

Program itu diadakan di perkarangan Istana Arau tetapi ada pihak yang tidak faham bertanya kenapa solat dilakukan di atas padang sedangkan di Perlis terdapat banyak masjid. – 20 Julai 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.