MAJIKAN di Singapura dimohon agar memberikan keizinan kepada pekerja mereka yang beragama islam untuk mengerjakan solat Jumaat.

Ahli Parlimen Singapura, Zainal Sapari berkata, pekerja akan lebih bersemangat dan produktif sekiranya mereka mendapat keizinan untuk mengerjakan solat Jumaat.

Jelas Zainal, rayuan ini dikemukakan kepada majikan di negara itu kerana beliau mendengar keluhan daripada kaum lelaki Muslim yang tidak diberikan izin untuk mengerjakan solat Jumaat.

“Mereka berasa amat tertekan kerana sedar akan betapa serius dan besarnya dosa sekiranya mereka gagal melaksanakan solat Jumaat.

“Secara lumrah, masa untuk mereka solat tidak lama dan kelonggaran bagi pekerja dari kalangan Melayu Islam hanya dari pukul 12:30 tengahari sehingga 2.30 petang akan menjadikan kamu sebagai majikan mesra Muslim dan kamu dapat menaikkan semangat mereka untuk bekerja.

“Pekerja Melayu Muslim kamu akan menggantikan kerugian masa bekerja dengan datang lebih awal dan pulang lebih lewat untuk hari itu.

“Saya yakin pekerja Melayu Muslim kamu tidak akan menyalahgunakan kesempatan ini kerana kami tahu, sekali hilang kepercayaan susah untuk dapatkannya kembali,” katanya.

Namun, permohonan Zainal mendapat pelbagai reaksi dan menjadi isu hangat dalam kalangan rakyat di negara itu.

Ramai rakyat Singapura dari kalangan bukan Islam, dan sebilangan yang beragama Islam sendiri menentang idea memberi keizinan untuk umat Islam mengerjakan solat itu

Mereka beranggapan kononnya tidak adil kepada penganut agama lain, dan juga kerana status Singapura itu sendiri sebagai negara sekular.

Walau ada ramai yang menentang, sebahagian ramai mereka menyokong rayuan Zainal, terutamanya dari kalangan umat Islam Singapura sendiri dan ada yang menyuarakan kesedihan kerana anaknya yang menuntut di institusi pengajian tinggi tempatan di negara itu juga tidak diberi kelonggaran untuk mengerjakan solat Jumaat.

Semoga umat Islam di Singapura bebas mengamalkan ajaran agama mereka walaupun mendapat tentangan hebat dan terus kuat menghadapi cabaran.- 21 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.