DHIA Hani, Ahli Persatuan Pemikir Muda Johor mendedahkan siapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebenarnya.

Beliau sangat kecewa dengan kerajaan PH yang dilihat suka menyembunyikan perkara sebenar yang berlaku di Pasir Gudang dan seolah-olah tidak terkesan dengan apa yang terjadi kepada rakyat dan menganggap nyawa rakyat tidak bernilai.

“Saya sebagai anak muda Johor sudah tentu sangat kecewa apabila perkara ini berlaku.

“Amat menyedihkan apabila kerajaan seakan-akan menganggap nyawa rakyat ini tiada nilainya sehingga sanggup menyembunyikan kebenaran daripada pengetahuan umum.

“Adakah ini cara sesebuah kerajaan yang prihatin?,” katanya.

Menurut Hani, beliau sendiri tidak percaya dengan siri ketiga pencemaran udara yang berlaku di Pasir Gudang yang melibatkan 50 pelajar dikejarkan ke klinik kesihatan.

“Kurang dari sebulan, sekali lagi lebih daripada 50 pelajar dari beberapa sekolah dikejarkan ke klinik untuk mendapatkan rawatan kecemasan selepas mereka mengalami muntah-muntah, pening kepala dan loya yang dipercayai akibat pencemaran udara,” katanya.

Namun begitu, berita ini tidak didedahkan kepada umum dan tidak seheboh pencemaran udara yang berlaku pada Mac dan Jun lalu.

“Pada awalnya, saya juga kurang percaya tentang berita yang mengatakan kerajaan halang orang ramai atau pengamal media untuk membuat liputan mengenai bencana di Pasir Gudang.

“Tetapi ianya terbongkar selepas tularnya status Facebook seorang wanita yang dipercayai penduduk di Pasir Gudang mendedahkan perkara sebenar.

“Ternyata apa yang saya dengan semuanya betul dan benar,” katanya.

Tambah Hani, kerajaan yang kononnya prihatin sedang memperolokkan rakyat dalam diam dan menyembunyikan perkara tetapi kuasa ‘viral’ itu lebih kuat dan telah membongkarkan siapa kerajaan PH.

“Siapa sangka rupanya secara senyap-senyap kita semua sudah ditipu oleh kerajaan.

“Tergamak kerajaan mengugut untuk menyaman sesiapa sahaja yang menyebarkan gambar mengenai pencemaran udara di Pasir Gudang.

“Persoalannya kenapa kerajaan menghalang rakyat atau pengamal media dari menyebarkan kebenaran bahawa rakyat masih mengalami bencana pencemaran udara sehingga ke hari ini?.

“Apa yang terjadi di Pasir Gudang kini bukan seperti yang dilaporkan oleh kerajaan yakni keadaan di Pasir Gudang masih selamat dan terkawal.

“Hakikat sebenar, masalah pencemaran udara di Pasir Gudang masih belum pulih sehingga sekarang.

“Tidak mustahil kerajaan ingin menutup kegagalan mereka mengawal situasi ini menyebabkan mereka sanggup mengugut rakyat untuk tidak menyebarkan apa-apa yang berlaku.

“Malah tindakan mengeluarkan arahan seperti itu kepada rakyat juga seolah-olah kerajaan cuba untuk menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat,” katanya.

Di mana harapan Malaysia Baharu untuk rakyat? -21 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.