KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) gagal mentadbir negara Malaysia dengan baik.

Menurut Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, ia berikutan kerajaan PH dilihat tidak dapat menstabilkan ekonomi dan politik ketika ini.

“Tidak ada hala tuju ekonomi, politik tidak stabil, asyik bergaduh antara parti dan dibelenggu masalah dalaman parti.

“Asyik-asyik dia punya bintang filem, video (seks) dan sampai bila kita akan dihidangkan dengan perkara macam ini.

“Apabila parti pemerintah tidak stabil, siapa yang hendak datang melabur ke negara yang politiknya tidak menentu. Sekejap hendak serah jawatan dalam masa dua tahun, sekejap tiga tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Hasan memberitahu, kerajaan sekarang bukan mengambil alih untuk mentadbir tetapi lebih kepada memuaskan hati dan memenuhi agenda.

“Ketika ini negara kita kita berundur ke belakang disebabkan kerajaan baru gagal mentadbir.

“Mereka dulunya berkobar-kobar menjatuhkan BN kerana hasad dengki, bukan kerana hendak mentadbir negara pun dan memberi kesenangan kepada rakyat.

“Ia lebih kepada untuk memuaskan hati dan agenda mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kegagalan PH membuatkan rakyat kini semakin tertekan dengan cabaran hidup yang semakin tinggi.

“Tidak ada apa yang mereka buat selepas setahun mentadbir negara, rakyat semakin susah, kuasa beli menurun dan harga barang semakin naik.

“Rakyat hilang pendapatan, kelapa sawit jatuh pada harga terendah dalam sejarah dan itu baru lebih 400 hari pemerintahan mereka. Bayangkan kalau 5 tahun,” katanya.

Selain daripada itu, Mohamad Hssan mengulas, langkah menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun bakal memberi kesan kepada kebanyakkan kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Barisan Nasional perlu bersedia lebih awal bagi mendekati dan meyakinkan anak-anak muda yang tidak tahu apa-apa ini.

“Pastikan mereka bersama kita, pengundi dalam PRU-15 akan bertambah sebanyak lapan juta orang menjadi 22.5 juta orang dan ini merupakan jumlah yang besar, kena fikir elok-elok,” katanya.- 21 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.