DALAM satu kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu menyatakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak berpeluang menjadi Perdana Menteri baharu.

“Majoriti dalam PKR, Amanah dan DAP menyokong Anwar sebagai perdana menteri yang akan datang.

“Anwar juga dipersetujui oleh PH sebagai individu yang akan menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Walaupun Azmin Ali digambarkan sebagai pemimpin kesayangan perdana menteri,” katanya.

Kenyataannya dibidas dengan tegas oleh Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang memberitahu sesiapa sahaja boleh menjadi PM termasuklah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ronnie Liu tidak berhak untuk mempertikaikan Azmin Ali tidak boleh menjadi PM.

“ADUN itu seharusnya sedar ketentuan Tuhan yang boleh mengizinkan sesiapa sahaja termasuk Timbalan Presiden PKR itu untuk menjadi perdana menteri.

“Dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku dan senario politik juga boleh berubah dari masa ke masa dan dia perlu tahu itu hakikat apabila berpolitik,” katanya.

Jelas Khairuddin, kita boleh merancang sebaik mungkin dalam bidang ini tetapi ia bergantung kepada rezeki seseorang.

“Bagi orang Islam khususnya, segala ketentuan terletak kepada keizinan Allah.

“Kita mesti berpegang kepada hukum qada dan qadar,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, bagi Khairuddin, beliau menyuarakan ketidakpuasan hati dan tidak faham dengan sikap sesetengah pihak yang gila kuasa dan ingin berebut sesuatu jawatan.

“Dalam berjuang, kita sharusnya ikhlas hendak berjuang untuk kepentingan bangsa dan negara walaupun tanpa jawatan pun kita boleh berjuang, tidak perlu hendak berebut kuasa.

“Ronnie mungkin ingat Azmin Ali tidak cukup sokongan tetapi sokongan itu boleh berubah-ubah dalam politik dan ia adalah terlalu awal untuk Ronnie mengungkapkan kata-kata tersebut.

“Jangan takut kepada bayang-bayang sendiri kerana Azmin adalah seorang tokoh politik yang amat setia kepada ketuanya,” katanya.

Khairuddin turut menegaskan Azmin Ali bukan seorang yang gilakan kuasa dan suka tikam belakang.

“Jangan takut kepada Azmin kerana dia adalah seorang tokoh politik yang matang yang tidak pernah bersifat gopoh-gapah untuk berpaut pada kuasa.

“Beliau seorang pekerja yang sentiasa fokus pada tanggungjawab serta memikul amanah rakyat tanpa sebarang agenda untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.-21 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.