BEKAS Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Rafii bimbang isu pencemaran air di Selangor ini boleh menjadi Pasir Gudang Kedua.

Perkara ini tidak mustahil berlaku jika kerajaan hari ini tidak bersungguh-sungguh menanganinya.

“Isu ini adalah dalaman iaitu masalah pengurusan. Menteri Besar kena fokus kepada pengurusan pentadbiran negeri Selangor.”

“Jangan sibuk berpolitik sehingga rakyat Selangor dibebani masalah air ini.
Ini bukan masalah kecil, tetapi masalah besar,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, Razlan menyatakan bahawa ada banyak kilang haram di sekitar Sepang, Jenjarum bahkan di Shah Alam.

Kilang haram itu kini telah menjadi halal selepas diberi lesen oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Saya diberitahu, kilang haram ini memperoleh lesen daripada JAS selepas mendapat sokongan daripada Adun DAP.”

“Antara kilang haram yang telah memperoleh lesen termasuklah kilang plastik dan kilang melerai barang-barang.”

“Sisa daripada barang yang dilerai ini akan dibuang dan kita tidak tahu ke mana ia dihantar atau bagaimana dilupuskan,” katanya.

Oleh itu, Razlan menggesa SPRM supaya menyiasat JAS dan Adun yang mungkin terbabit dalam pemberian lesen ini.

Sekiranya perkara ini tidak dibendung awal-awal lagi, dibimbangi kejadian yang menimpa penduduk di Pasir Gudang berulang di Selangor pula.

Sebelumnya, Syabas dalam suatu kenyataan media menyatakan pihaknya telah mengesan pencemaran minyak diesel di muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Pihak Syabas mendapati punca pencemaran adalah dari aktiviti kerja-kerja pengorekkan pasir di hulu sungai.

Ekoran insiden pencemaran ini, LRA Rantau Panjang terpaksa dihentitugas pada jam 6.00 petang hari ini, Ahad 21 Julai 2019, LRA SSP3 pada jam 8.00 malam dan LRA SSP1 serta LRA SSP2 pada jam 8.15 malam.

Syabas menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat memastikan jangkamasa pemulihan sekiranya insiden pencemaran sumber air mentah kembali berulang. – NTGQiBORD 22 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.