GANGGUAN bekalan air disebabkan pencemaran bau ini merupakan kali kedua berlaku dalam tempoh kurang sebulan serta kali ketiga pada tahun ini.

Demikian dinyatakan oleh Adun Sungai Air Tawar, Rizam Ismail.

Bulan lalu, Syabas turut juga telah melaksanakan henti tugas di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih akibat daripada masalah pencemaran ini.

Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari Jumaat lalu dikejutkan dengan berita gangguan bekalan air akibat daripada masalah pencemaran yang berlaku di Sungai Selangor.

Pada bulan Mac pula, bekalan air di negeri ini turut sama dihentikan akibat daripada kesan pencemaran di Sungai Klang.

“Jika kali pertama berlaku, mungkin rakyat dapat memaafkan. Tetapi kejadian ini adalah kejadian berulang.

“Rakyat juga sehingga kini tidak mengetahui apakah tindakan yang telah diambil terhadap pelaku pencemaran sebelum ini, kini rakyat dihadapkan lagi dengan masalah yang sama,” katanya yang juga ketua Pembangkang DN Selangor.

Menurut Rizam Ismail, alasan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli sukar diterima.

Menteri terbabit berkata pencemaran air di sungai-sungai di negeri ini adalah sesuatu perkara biasa serta kerajaan sukar untuk memantau perkara ini.

Perkara ini jelas menunjukkan sikap tidak acuh kerajaan terhadap perkara ini, kata Rizam.

Alasan kononnya Sungai Selangor sangat luas sehingga sukar untuk dibuat pemantauan juga sukar diterima.

Ia hanyalah suatu alasan dangkal dan malas menteri dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan rakyat.

Pada masa yang sama, Rizam turut menyelar kerajaan negeri dalam masalah air ini.

Hal ini kerana, dahulu kerajaan negeri memberi alasan bahawa kerajaan pusat dan negeri dari parti yang berbeza.

Sekarang, kedua-dua kerajaan daripada blok yang sama, tetapi masalah air tetap tidak berubah.

Malahan, kesemua syarikat berkaitan pembekalan air di Selangor telahpun menjadi milik Kerajaan Negeri.

Gunakanlah kuasa yang ada untuk kepentingan rakyat.

“Sudah masuk penggal ketiga pentadbiran Pakatan Harapan di Selangor, seharusnya tiada lagi alasan untuk perkara ini terus berlarutan,” kata Rizam lagi. – 22 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.