AHLI Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mahu semua komponen parti dalam PH menghormati demografi majoriti negara ini.

Beliau berkata demikian selepas diajukan soalan tentang DAP hari ini yang sudah mula berani mempertikai hak istimewa orang Melayu.

Antaranya termasuk pertikaian kuota pendidikan, kuota kakitangan kerajaan, mengabaikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan.

“Dahulu semua perkara ini diperjuangkan tanpa ragu-ragu. Hari ini dilihat seolah-olah DAP menekan perjuangan yang dibawa kerajaan sebelum ini.”

“Bagi saya segala polisi yang mahu dibawa DAP perlu lihat Perlembagaan. Jangan kerana mahu membantu satu-satu kaum, kita abaikan agenda utama kerajaan baharu ini.”

“Tindakan itu akan menampakkan kepincangan yang berlaku dan akhirnya merosakkan kedudukan kerajaan hari ini,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian kepada NTHQiBord selepas program temubual bersama Nothing to Hide Media.

Menurut Hamzah, orang Melayu dan Bumiputera mewakili 70 peratus rakyat Malaysia.

Jadi kerajaan hari ini tidak wajar mengetapikan tanggungjawab terhadap demografi majoriti ini.

Beliau yang menyertai Bersatu pada awal 2019 lalu percaya bahawa parti ini meneruskan perjuangan yang sama semasa dalam UMNO dahulu.

Bagi beliau, Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang asalnya daripada UMNO masih memperjuangkan perkara yang sama.

“Bersatu melakukan perkara yang sama tetapi melalui kaedah yang berbeza. Cuma rakyat masih belum nampak.

“Bebanan yang ditanggung oleh Bersatu ialah bagaimana agar semua komponen parti dalam kerajaan hari ini faham akan kedudukan demografi ini,” katanya.

Dari sudut sejarah, Hamzah mengingatkan bahawa demografi majoriti inilah yang berjuang untuk kemerdekaan negara.

Katanya, kelompok ini jugalah yang berjuang mengekalkan agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Maka, kerajaan hari ini jangan ambil mudah dan jangan lupa tentang demografi majoriti ini,” katanya.

Semasa bersama UMNO dahulu, Hamzah pernah memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Timbalan Menteri Perusahaan, Perdagangan dan Komuniti; dan Timbalan Menteri Luar. – NTHQiBORD 21 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.