KETUA Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin memberitahu pihaknya sedang memburu tiga pemancing disyaki menjadi punca berlakunya pencemaran minyak diesel di Sungai Selangor, lapor Utusan Malaysia.

Tindakan polis ini dilakukan selepas syarikat Two-B Machineries Sdn. Bhd. Membuat laporan polis di Balai Polis Bestari Jaya.

Syarikat terbabit mengatakan pontoon di kawasan pengorekan pasir disabotaj.

Dalam laporannya pekerja syarikat tersebut, mereka telah terserempak dengan tiga pemancing itu yang diarah supaya keluar, namun mereka enggan berbuat demikian.

“Namun, setelah diarahkan sekali lagi oleh pekerja pontoon tersebut, mereka telah keluar tetapi dipercayai telah melakukan sabotaj dengan mencabut klip pada dua tong di pontoon berkenaan yang mengakibatkan minyak diesel kira-kira 100 liter tumpah.”

“Kita sedang menyiasat perkara tersebut bersama dengan Air Selangor bagi mengetahui sama ada ia disabotaj atau berpunca daripada kecuaian.

Berdasarkan pemantauan kita, kawasan sekeliling tidak berpagar dan ia kawasan aliran sungai,” kata Noor Azam.

Dalam pada itu, Noor Azam menjelaskan, pihaknya kini sedang mengesan ketiga-tiga individu terbabit termasuk motosikal dinaiki kesemua pemancing tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu pengkhianatan dengan merosakkan kerja-kerja pengairan atau secara salah menyimpang aliran air,” ujarnya.

Terdahulu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), memaklumkan dalam suatu kenyataan media bahawa punca pencemaran adalah dari aktiviti kerja-kerja pengorekkan pasir di hulu sungai.

Pencemaran itu membabitkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Namun, laporan polis oleh syarikat terbabit dan kenyataan media Syabas mendedahkan suatu perkara iaitu adanya aktiviti berskala besar di kawasan terbabit.

Yang menjadi persoalan sekarang bagaimanakah kerajaan negeri boleh membenarkan kerja-kerja pengorekkan pasir boleh dilakukan di kawasan sumber tadahan air?

Siapa pemilik syarikat terbabit? Pihak SPRM patut siasat jika ada penyelewangan kuasa berlaku.

Sepatutnya kawasan sumber tadahan air menjadi kawasan larangan untuk aktiviti sedemikian rupa.

Akhirnya, kaki pancing juga yang disalahkan. – 22 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.