PELANTIKAN Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Wah sebagai Pengerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) jelas sekali lagi menunjukkan DAP melanggar asas perjuangan mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam suatu kenyataan.

Sebelum menjadi kerajaan, DAP dan parti komponen lain dalam PH sering menyerang BN kerana membuat lantikan politik ke jawatan tertentu dalam agensi kerajaan.

Namun, selepas mengambilalih kerajaan pusat mereka melakukan perkara yang sama.

“Oleh itu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius tindakan Menteri MESTECC Yeo Bee Yin yang melantik Wong Kah Woh sebagai Pengerusi SEDA.”

“Keputusan ini secara jelasnya menyerlahkan lagi kerakusan DAP untuk menguasai pelbagai sektor ekonomi negara!,” kata Asyraf.

SEDA adalah agensi yang ditubuhkan di era Barisan Nasional (BN) untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan industri ‘Tenaga Diperbaharui’ (Renewable Energy) negara.

Sejak tahun 2012 sehingga 2017, SEDA bertanggungjawab kepada pengagihan kuota penjanaan tenaga elektrik melalui Fotovolta Solar, Biomas, Biogas, Hidrokuasa Kecil dan Geoterma berjumlah 3,086.45 GWj.

Pada penghujung Disember lalu, Menteri MESTECC telah mengumumkan projek pembangunan tenaga solar berskala besar (Large Scale Solar Power Project) bernilai RM2.0 bilion.

Persoalannya apakah pelantikan Wong Kah Woh sebagai Pengerusi SEDA ini berkait rapat dengan projek berbilion ringgit yang baru diumumkan ini.

Hal ini kerana agihan kuota penjanaan bagi projek ini akan diselia oleh SEDA?

Bagi Asyraf, perlantikan pemimpin DAP bagi menerajui agensi kerajaan yang penting ini menimbulkan pertikaian dari segi ketelusan dan tadbir urus yang baik (good governance).

Malah pelantikan ini satu lagi pencabulan kepada manifesto Pakatan Harapan (PH) berkaitan dengan perlantikan politik dalam sektor kerajaan dan GLC.

Beliau turut mempersoalkan apakah sudah tiada lagi tokoh-tokoh di kalangan pakar, jurutera profesional dan ahli korporat yang mandiri untuk menggalas jawatan Pengerusi SEDA sehingga Yeo Bee Yin terpaksa melantik kroni parti?

Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Yeo Bee Yin tampil memberikan penjelasan.

Hal ini kerana bukan sahaja membelakangi janji manifesto PH bahkan wujud konflik berkepentingan yang boleh dikaitkan dengan pelantikan ini. – 22 Julai 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.